Thursday, July 28, 2011

25 BEKAS PEMAIN KEMBALI BERAKSI

Pemain lagenda bola sepak Kelantan bersedia menggegar apabila turun beraksi dalam perlawanan persahabatan menentang bekas pemain Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, petang esok

KOTA BHARU – Seramai 25 bekas pemain bola sepak negeri ini akan mengadakan lawatan muhibbah ke Terengganu bagi mengadakan perlawanan persahabatan menentang pasukan bekas pemain negeri Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, petang esok.

Mereka merupakan sebahagian daripada 103 bekas pemain negeri ini yang bakal mengganggotai Persatuan Lagenda Bola Sepak Kelantan yang baru ditubuhkan oleh bekas-bekas pemain sendiri, baru-baru ini.

Timbalan Presidennya, Wan Zawawi Wan Yusof berkata, Persatuan Lagenda Bola Sepak Kelantan ditubuhkan bertujuan untuk menjaga kebajikan bekas-bekas pemain selain merapatkan hubungan dalam kalangan mereka.

“Ini merupakan kunjungan pertama kali ke sana dan selain mengadakan perlawanan persahabatan, kita juga akan menziarahi bekas pemain Terengganu, Yahya Jusoh bagi menghulurkan sedikit sumbangan kepada beliau,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

“Bagi menghadapi perlawanan persahabatan ini, para pemain kini giat menjalani latihan setiap petang di Kota Bharu mengembalikan kecergasan memandangkan ramai dalam kalangan kita sebenarnya sudah berusia.

“Kemudian, rombongan bekas pemain ini akan ke ibu negara bagi menyertai satu lagi perlawanan persahabatan sempena Himpunan Anak-Anak Kelantan Diperantauan yang dijadualkan berlangsung pada petang Sabtu ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MPBJ), Kelana Jaya,” katanya.

Menyentuh mengenai penubuhan persatuan tersebut, Wan Zawawi yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan pada Sukan Olimpik di Munich, Jerman pada tahun 1972 menjelaskan, pihaknya kini dalam proses untuk mendaftarkan persatuan tersebut.

“Persatuan ini akan diketuai Hamid Ghani, salah seorang pemain bola sepak tersohor negeri ini sekitar penghujung tahun 1950’an. Setakat ini kita berjaya mengumpul seramai 103 bekas pemain dan ada lagi yang masih belum mendaftar bersama kita.

“Kesemua mereka merupakan bekas pemain negeri ini sekitar tahun 1960 hingga 1980’an. Dan ada diantara mereka yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan. Selain itu kita juga turut bergiat aktif mengadakan beberapa siri perlawanan persahabatan sebelum ini,” katanya.

Penubuhan persatuan ini dialu-alukan kerana generasi sekarang ternyata kurang mengenai pemain-pemain seperti Wan Hassan Wan Ibrahim, Bazli Jusoh, Kamaruddin Abdullah, Rosli Hussin, Wan Yusof Wan Zin, Ramli Abdullah dan ramai lagi yang pernah mewakili negeri ini ketika di zaman kegemilangan mereka dahulu.

No comments:

Post a Comment