Thursday, April 28, 2011

DEVAN AKUR KEKALAHAN SELANGOR

K DEVAN 
 
KOTA BHARU – “Bermain dibawah tahap keupayaan sebenar” Itulah antara punca pendahulu liga, Selangor tewas tipis 0-1 kepada Kelantan dalam pertembungan kali kedua bagi kedua-dua pasukan sepanjang musim ini di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam semalam

Jurulatih Selangor, K Devan ketika mengulas kekalahan pasukannya berkata, kesilapan benteng pertahanan pada awal babak permainan menjadi punca penyerang kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha berjaya menjaringkan tunggal dalam perlawanan itu.

“Sebenarnya kedua-dua pasukan mempamerkan corak persembahan yang seimbang. Kita juga turut mempunyai peluang untuk menjaringkan gol dalam perlawanan ini,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan berakhir, malam semalam.

“Apa yang saya lihat, kedua-dua pasukan bermain dibawah tahap keupayaan sebenar dalam perlawanan ini. Saya akui, corak permainan pasukan Selangor tidak seperti biasa. Mungkin disebabkan faktor keletihan kerana kita bermain menentang Sabah pada Sabtu dan kemudian terpaksa ke sini bagi bertemu Kelantan.

“Kelantan pula bermain pada hari Jumaat menentang Perlis dan mereka mempunyai kelebihan kerana mendapat rehat yang panjang. Ini sudah pasti tidak memberi kelebihan kepada kita sebenarnya apabila beraksi dalam perlawanan sepenting ini.

Devan mengakui gol pada awal babak permainan itu sedikit sebanyak mengubah rentak permainan pasukan mereka apatah lagi terpaksa bermain dihadapan puluhan ribu penyokong setia Kelantan dalam perlawanan malam semalam.

“Sudah tentu apabila kita ketinggalan pada awal permainan, situasi itu menyebabkan pemain saya tertekan untuk mencari gol penyamaan. Saya percaya, sekiranya gol pertama Kelantan itu tidak terhasil, saya fikir perlawanan ini berakhir dengan keputusan seri.

Sementara Devan mengakui tindakan beliau hanya meletakkan Mohd Amri Yahyah selaku penyerang tunggal dalam perlawanan itu sambil dibantu Shafiq Rahim merupakan sebahagian daripada percaturan taktikalnya menghadapi Kelantan dalam perlawanan itu.

“Itu merupakan strategi kita pada separuh masa pertama. Kalau kita rasa kedudukan masih lagi seri, mungkin saya boleh memasukkan Mohd Fadzli (Shaari) pada awal separuh masa kedua.

“Sebaliknya kita telah ketinggalan satu gol pada awal permainan lagi. Itu yang menyebabkan kita tidak dapat melakukan perubahan drastik walaupun kita memasukkan dia pada pertengahan babak kedua,” katanya.

No comments:

Post a Comment