Tuesday, April 19, 2011

MAT YO KETEPIKAN MISI PERIBADI DEMI MARUAH

Norshahrul Idlan (dua,kiri) serius mendengar arahan Karathu dalam sesi latihan terakhir skuad Kelantan di Kota Bharu, pagi semalam. 

KOTA BHARU – Sama ada gelaran penjaring terbanyak atau maruah pasukan yang dicari, penjaring gol terbanyak Kelantan setakat ini, Norshahrul Idlan Talaha akhirnya mengetepikan misi peribadi dengan meletakkan kepentingan maruah pasukan Kelantan sebagai keutamaannya menjelang pertemuan menentang Perlis di Stadium Utama Negeri, Kangar, malam ini.

Justeru, selaku Penolong Ketua Pasukan Kelantan musim ini, Norshahrul Idlan atau lebih dikenali dengan panggilan ‘Mat Yo’ mahu menjadikan pertemuan menentang Perlis di malam ini medan untuk pasukan The Red Warriors mengembalikan sokongan peminat setianya setelah mempamerkan aksi hambar dalam dua perlawanan lalu.

Penyerang kebangsaan kini berkongsi kedudukan dengan penyerang Terengganu, Abdul Hadi Yahya yang meledak tujuh gol daripada 12 perlawanan sambil diekori rapat penyerang Perak, Akmal Rizal Ahmad Rakhli (enam gol) dan pemain Terengganu, Mohamad Ashaari Shamsudin (lima gol).

Norshahrul Idlan berkata, Kelantan tidak mempunyai pilihan selain perlu menumbangkan pasukan bergelar Singa Utara itu untuk kembali memberi tekanan kepada pasukan lain tatkala saingan liga kini semakin mencabar.

“Kita perlu menang dalam perlawanan ini bagi membolehkan kita terus memberi tekanan kepada tiga pasukan yang berada ditangga teratas liga. Untuk itu, amat penting bagi kita mendapatkan gol awal bagi membakar semangat rakan sepasukan yang lain,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

“Saya percaya, rakan-rakan yang lain sudah bersedia daripada segi mental dan fizikal bagi menghadapi pertemuan dengan Perlis ini. Sebagai seorang penyerang, keutamaan saya adalah untuk pasukan Kelantan. Soal siapa yang menjaringkan gol itu tidak penting, kerana yang lebih diutamakan ialah kemenangan pasukan Kelantan.

“Soal mencari gelaran penjaring terbanyak itu perkara nombor dua dan saya tidak mahu memikirkan lebih serius tentang perkara itu. Insya Allah, saya berjanji akan menampilkan aksi terbaik dalam perlawanan ini. Tidak beraksi dalam perlawanan lalu (menjalani penggantungan perlawanan), saya percaya tahap kecergasan saya kini lebih baik daripada rakan-rakan yang lain,” katanya.

Menurutnya, memang menjadi impian setiap pemain bergelar penyerang untuk menjaringkan gol dalam setiap perlawanan dan untuk itu beliau mengharapkan kerjasama daripada rakan sepasukan yang lain untuk membantunya merealisasikan hasrat tersebut.

“Saya berharap rakan-rakan sepasukan dapat membantu saya menjaringkan gol dalam perlawanan ini. Saya percaya sekiranya kita bermain mengikut arahan dan mengamalkan semangat berpasukan yang tinggi kita mampu menewaskan Perlis malam ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment