MOHD YUSRI ISMAIL
KOTA BHARU – Skuad Piala Presiden Kelantan mahu menjadikan kemenangan besar 5-1 ‘abangnya’ ke atas Perlis dalam aksi Liga Super sebagai pembakar semangat apabila turun menentang Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar petang ini.
Dalam perlawanan pusingan pertama di Kota Bharu pada pertengahan Februari lalu, Kelantan berjaya mengalahkan skuad Sang Kenari 2-1 menerusi dua gol hasil jaringan penyerang utama, Mohd Aris Zaidi.
Penolong Pengurus Pasukan, Mohd Yusri Ismail berkata, sekalipun bakal turun khidmat pemain tengah Nicholas Chan Meng-Jin yang digantung satu perlawanan namun itu bukan masalah besar bagi The President Warriors untuk mencipta kemenangan biarpun beraksi di tempat lawan.
“Walaupun kehilangan khidmat Nicholas Chan (Meng-Jin) namun itu tidak menjadi masalah kerana prestasi barisan pemain simpanan kita juga hampir setaraf dengan pemain utama yang lain. Saya percaya, Jurulatih, Zahasmi Ismail dapat melakukan perubahan taktikal dengan baik bagi pertemuan menentang Kedah ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Mohd Azyu Ikmal Che Mat Nor (tengah) menjadi sandaran utama di jentera serangan Kelantan pada pertemuan menentang Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar, petang ini.
“Saya mahu pemain mempamerkan aksi bertenaga sebagaimana kita mengecewakan Sabah 2-1 di Kota Bharu, minggu lalu. Sekiranya pemain beraksi mengikut arahan jurulatih, saya fikir tidak ada sebab untuk kita tidak boleh membawa pulang tiga mata ke Kota Bharu.
“Kita tetap menghormati keupayaan pasukan Kedah. Mereka merupakan sebuah pasukan yang kuat dan mempunyai kelebihan kerana beraksi di tempat sendiri. Justeru, saya mengingatkan barisan penggempur diketuai Mohd Norfarhan (Yaakub) dan Mohd Azyu Ikmal (Che Mat Nor) memanfaatkan setiap peluang dengan menjaringkan gol,” katanya.
No comments:
Post a Comment