Tuesday, April 26, 2011

KELANTAN PUNYAI KELEBIHAN


KOTA BHARU – Sekalipun tampil selaku peneraju carta liga ketika ini, tiada kelebihan  bagi pasukan Selangor apabila turun beraksi menentang Kelantan dalam aksi perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Dalam nada merendah diri, Ketua Jurulatih Selangor, K Devan mengakui pasukannya bakal berhadapan laluan sukar apatah lagi pemainnya tidak mempunyai masa yang cukup menjalani latihan sebagai persiapan bertemu Kelantan malam ini.

“Sekembali dari Kota Kinabalu, kita hanya sempat menjalani latihan ringkas pagi semalam sebelum berlepas ke Kota Bharu petang ini. Kita menghadapi sedikit masalah apabila dua pemain tonggak iaitu Mohd Fadzli (Shaari) dan Mohd Nasriq (Baharom) mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Namun, saya mengesahkan bahawa kita tetap membawa kedua-dua pemain itu ke Kota Bharu bagi menghadapi Kelantan malam esok (ini). Begitu pun, kita mempunyai dua pemain lain iaitu Rudie (Ramli) dan S Sritharan yang mampu mengisi kekosongan pemain tersebut.

“Saya lihat Kelantan mempunyai sedikit kelebihan kerana mempunyai rehat yang cukup berbanding kita. Mereka beraksi di Kota Bharu pada hari Jumaat sedangkan kita terpaksa ke Kota Kinabalu bagi bertemu Sabah pada Sabtu lalu. Saya akui, memang jadual perlawanan cukup padat dan pemain kita terpaksa menghadapi situasi tersebut dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Devan berkata, Kelantan merupakan sebuah pasukan yang kuat pada musim ini dan hakikat tersebut diakui beliau sendiri apabila pasukan bimbingan Datuk M Karathu itu masih  mampu mengekalkan rekod tanpa kalahnya setiap kali beraksi di gelanggang sendiri.

“Namun mereka kehilangan mata apabila bermain diluar. Apa yang saya lihat, kekuatan mereka sebenarnya bergantung kepada beberapa pemain yang dilihat tonggak utama dalam pasukan mereka. Mereka menghadapi kesukaran untuk mencatatkan kemenangan sekiranya beraksi tanpa tonggak utama.

“Memang kita tidak boleh menurunkan kesebelasan terbaik bagi menentang Kelantan pada malam ini. Semua pasukan mahu menang setiap kali bertandang ke Kota Bharu, namun saya percaya sekiranya kita berjaya mencuri satu mata, saya fikir itu sudah memadai bagi kita,” katanya. 

Sementara itu Devan turut mengesahkan aksi cemerlang penjaga gol, Saiful Amar Sudar dalam empat perlawanan lalu sekali lagi menjadi sandaran bagi mengawal pintu gol pasukannya daripada dibolosi pada perlawanan malam ini.

No comments:

Post a Comment