KOTA BHARU – Tirai pusingan pertama saingan Liga Super ditutup penuh bergaya oleh Kelantan apabila membelasah pasukan tercorot, Perlis dengan kemenangan besar 5-1 di Stadium Utama Negeri, Kangar malam kelmarin.
Bangkit daripada mempamerkan aksi hambar dalam dua perlawanan lalu, ternyata kejayaan membenam Singa Utara di hadapan penyokong mereka membolehkan The Red Warriors merampas tangga ketiga liga daripada Perak yang gagal mengambil kesempatan beraksi di gelanggang sendiri setelah sekadar seri 1-1 dengan Terengganu di Ipoh.
Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu menyifatkan kemenangan tersebut cukup bermakna bagi pasukannya setelah tenggelam dalam dua perlawanan sebelum ini.
“Saya cukup berpuas hati dengan prestasi pemain Kelantan dalam perlawanan itu. Sebenarnya kita boleh pulang ke Kota Bharu dengan jumlah jaringan yang besar. Kita mempunyai 10 peluang terbaik namun lima yang tepat menerjah jaring. Walauapapun, yang penting kita perolehi tiga mata dalam perlawanan ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
“Memang kita bertandang ke Kangar dengan misi mencipta kemenangan dan barisan pemain merealisasikan impian tersebut. Dengan menguasai perlawanan, mereka menunjukkan satu kombinasi yang baik diantara pemain dan saya lihat mereka sememangnya memiliki semangat untuk menang dalam perlawanan ini.
“Saya percaya dengan kredibiliti barisan pemain saya. Saya mahu mereka meneruskan aksi sebegini pada pusingan kedua nanti. Ini merupakan kemenangan kedua kita di tempat lawan selepas berjaya menumbangkan Selangor pada perlawanan pembukaan liga awal Januari lalu,” katanya.
Menurutnya, faktor kemenangan dalam perlawanan itu turut dibantu dengan sumbangan berkesan tiga tonggak utama yang kembali berada didalam kesebelasan pemain Kelantan ketika menentang Perlis, malam semalam.
“Kembalinya Norshahrul Idlan (Talaha), Mohd Shakir (Shaari) dan Mohd Daudsu (Jamaluddin) menyaksikan pasukan kita kembali mempamerkan corak permainan yang garang. Saya juga merehatkan Zairul Fitree (Ishak) bagi perlawanan ini dan penggantinya, Subra (S Subramaniam) juga menunjukkan permainan yang bagus.
Ditanya mengenai prestasi Muhd Badhri Radzi atau lebih dikenali dengan panggilan Piya dalam perlawanan ini, Karathu menyifatkan Ketua Pasukan Kelantan berusia 29 tahun itu sudah kembali menemui rentak permainannya yang sebenar.
Kesebelasan utama pemain Kelantan yang diturunkan dalam pertemuan menentang Perlis, malam semalam.
“Sebelum perlawanan, saya pesan kepada dia, tunjukkan kebolehannya yang sebenar sesuai sebagai seorang jeneral padang. Bermain seperti biasa tanpa sebarang tekanan dan menikmati perlawanan ini sepuas-puasnya dan terbukti dia melakukan tugasan ini dengan baik.
“Saya gembira dengan prestasi yang ditunjukkan oleh Mohd Badhri (Radzi) dalam perlawanan ini. Dia telah menunjukkan satu peningkatan yang baik selepas direhatkan dalam beberapa perlawanan lalu. Saya berharap dia akan kembali bersemangat meneruskan rentak cemerlang ini dalam perlawanan akan datang,” katanya.
No comments:
Post a Comment