Tuesday, April 19, 2011

TIGA MATA PENUH JADI IMPIAN

Karathu (tiga,kiri) mahu anak buahnya mempamerkan kebangkitan luar biasa apabila menentang Perlis di Kangar, malam ini.

KOTA BHARU – Setelah hampa untuk mengutip tiga mata penuh ditempat sendiri, Kelantan mahu menjadikan pertemuan menentang Perlis di Stadium Utama Negeri, Kangar malam ini medan untuk pemainnya mengembalikan sokongan peminat setia dengan membawa pulang tiga mata penuh ke Kota Bharu.

Dengan reputasi Kelantan selaku juara Piala Malaysia musim lalu seakan kian tenggelam, kejayaan skuad Singa Utara dibawah bimbingan jurulatih sementara, Salim Tofel Mohamad mengejutkan Negeri Sembilan 3-2 di Kangar tempohari memberi amaran awal kepada Kelantan untuk tidak memandang mudah perlawanan malam ini.

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu mengakui pertemuan menentang pasukan Singa Utara itu cukup penting baginya bukan sahaja bagi mengembalikan sokongan peminat setia tetapi juga mahu menebus maruah pasukan The Red Warriors itu sendiri.

“Biarpun menduduki tangga tercorot, Perlis merupakan sebuah pasukan yang bagus walaupun dibarisi pemain-pemain muda. Kemenangan 3-2 ke atas Negeri Sembilan membuktikan pasukan itu mampu melakukan kejutan ke atas mana-mana pasukan lain.,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan terakhir Kelantan, pagi semalam.

“Memang kita ke sana dengan misi mencipta kemenangan. Kita tiada pilihan dan pemain memahami tugasan ini. Keupayaan pasukan kita sebenarnya lebih baik daripada mereka namun dengan syarat pemain kita menunjukkan satu persembahan yang bagus dalam perlawanan malam ini bagi mengembalikan maruah pasukan kita.

“Saya sempat melihat aksi pertemuan Perlis menentang Kedah baru-baru ini. Ternyata pemain muda mempamerkan semangat juang yang tinggi dan corak permainan mereka juga cukup pantas. Beraksi ditempat lawan, tentunya kita mempunyai peluang yang terhad dan saya mahu pemain memanfaatkan peluang itu dengan menjaringkan gol,” katanya.

Menurutnya, kegagalan menjaringkan gol dalam pertemuan menentang Sabah tempohari menjadi satu pengajaran yang cukup berguna kepada pemain dan pihak pengurusan untuk bangkit mencipta kemenangan apatah lagi The Red Warriors kini terperosok ditangga keempat saingan liga.

“Kita bermain dengan baik, menguasai perlawanan namun gagal menjaringkan gol. Ramai yang mempertikaikan taktikal yang saya gunakan. Sedangkan taktikal yang kita gunakan ketika menentang Sabah adalah sama ketika kita membelasah KL Felda United FC 6-0 sebelum itu. Tidak wajar untuk saya menukar taktikal kerap kali kerana ianya boleh menganggu persefahaman pemain dalam pasukan ini.

“Pertemuan daripada hati ke hati bersama Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa memberi signifikan bahawa kita harus bekerja lebih kuat daripada sekarang. Terkesan bahawa mental pemain kita lemah dan sikap cepat berpuas hati harus dikikis dengan segera dalam minda mereka

“Kita kehilangan S Chanturu dalam perlawanan malam ini namun saya berharap dapat menggunakan khidmat dia pada perlawanan pusingan kedua Jumaat ini. Mungkin kita akan bermain dengan formasi 4-3-2-1 dengan Norshahrul Idlan (Talaha) bakal dibantu sama ada Danial Fadzly (Abdullah), Muhammad Khalid (Jamlus) ataupun Mohd Nizab (Ayub),” katanya.

1 comment: