Karathu memberi arahan kepada pemain Kelantan sambil diperhatikan Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim dalam sesi latihan di Kota Bharu, petang semalam.
KOTA BHARU – Masih segar dengan kemenangan besar 5-1 ke atas Perlis tempohari, Kelantan sekali lagi bersedia untuk ‘berpesta gol’ apabila turun bertemu lawan yang sama dalam aksi perlawanan pertama pusingan kedua bola sepak Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.
Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu mengakui tiada alasan untuk pasukannya berdepan kesukaran mencatatkan kemenangan ditempat sendiri apatah lagi itu merupakan rekod kemenangan terbesar pasukan kendaliannya terhadap Perlis sejak beberapa tiga tahun lalu.
“Ini merupakan peluang terbaik kita untuk mengutip tiga mata di Kota Bharu. Setelah menang besar di Kangar tempohari, saya tidak nampak mengapa kita perlu bersusah-payah dihadapan penyokong sendiri untuk mencipta kemenangan malam ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
“Jadi pertemuan ini harus dimanfaatkan sebaiknya oleh barisan pemain Kelantan. Mana-mana pemain yang diturunkan tidak boleh melakukan kesilapan. Saya mahu semua pemain memberikan komitmen terbaik. Dalam bola sepak, apabila kita mempunyai tiga peluang dalam satu masa dan salah satu daripadanya diterjemahkan dengan jaringan gol, itu dikira sudah cukup baik.
“Justeru, saya mahu pemain lebih garang ketika berada dihadapan pintu gol Perlis. Kita mencipta banyak peluang namun dipersiakan. Saya tidak mahu situasi tersebut berulang. Selain kutipan mata, kadang-kala jumlah jaringan gol juga boleh mempengaruhi sesebuah pasukan untuk bergelar juara,” katanya.
Namun begitu, Karathu tetap mengingatkan pemainnya tidak terbawa-bawa dengan kemenangan besar tempohari sebaliknya perlu berwaspada dengan kekuatan pemain muda pasukan Singa Utara yang dibimbing oleh jurulatih pengalaman, Salim Tofel Mohamad itu.
“Memang kita perlu mencari gol awal untuk menaikkan semangat pasukan dan juga memberi tekanan kepada pasukan lawan. Jangan bagi ruang kepada mereka untuk bergerak bebas. Saya fikir gol pertama nanti mampu mengubah rentak permainan kita dalam pertemuan ini.
Ditanya mengenai percaturan taktikal bagi menghadapi Singa Utara malam esok (ini), Karathu berkata beliau sekali lagi bersedia untuk menurunkan barisan yang sama ketika diturunkan dalam aksi di Kangar tempohari
“Semua pemain bebas daripada kecederaan kecuali S Chanturu sahaja. Keputusan sama ada dia diturunkan atau tidak hanya akan ditentukan pada hari esok (ini). Saya juga sedang memikirkan untuk merehatkan satu dua pemain sekiranya perlu bagi menghadapi perlawanan menentang Selangor pertengahan minggu depan.
“Kita tengok dulu keadaan macam mana, semuanya bergantung kepada situasi semasa. Penting juga untuk kita merehatkan beberapa pemain bagi menghadapi perlawanan menentang Selangor yang kita nanti-nantikan selama ini,” katanya.
soley soley
ReplyDelete