Monday, October 25, 2010

FAM BUNUH KARIER SATHIANATHAN?

B Sathianathan

KOTA BHARU – Kerjaya cemerlang Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan sejak berkecimpung di dalam dunia bola sepak tempatan selama 14 tahun akhirnya dicalarkan oleh bekas majikannya sendiri, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Sepanjang 14 tahun beliau berkhidmat di Wisma FAM, Kelana Jaya tanpa sebarang apa-apa rekod buruk, tanpa menerima kad merah atau pun kad kuning sekali pun, akhirnya rekod kerjaya bekas jurulatih kebangsaan itu lebur gara-gara disabitkan memberi kenyataan kepada pihak media.

Dua hari lalu, Jawatankuasa Disiplin, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjatuhkan hukuman penggantungan selama enam bulan dan denda RM2,000 ke atas Sathianathan atas kesalahan memberi kenyataan kepada media berhubung stadium tuan rumah bagi perlawanan Perlis dan Terengganu dalam Liga Super yang lalu.

Segalanya bermula apabila Sathianathan mengeluarkan kenyataan kepada media mengenai pindaan venue perlawanan Liga Super, membabitkan Perlis dan Terengganu yang sepatutnya dilangsungkan di Kangar namun dipindahkan ke Kuala Terengganu.

Pindaan perlawanan tersebut memberi kelebihan kepada pasukan Terengganu yang bermain sehari lebih awal (Jumaat) tanpa perlu berkunjung ke Kangar sebelum ke Shah Alam bagi pertemuan menentang Selangor pada hari Selasa.

Sedangkan Kelantan ketika itu terpaksa beraksi berkelana jauh bermain digelanggang luar, menentang Pahang pada hari Sabtu sebelum menyambung perjalanan ke selatan tanah air menentang Johor pada hari Selasa
.
Umum menyedari ketika itu, persaingan rancak ketiga-tiga pasukan teratas dalam carta Liga Super iaitu Selangor, Kelantan dan Terengganu. Sementara Selangor kian kukuh dipersada liga, perebutan sengit hanya membabitkan pasukan Kelantan dan Terengganu dalam memburu tempat selaku naib juara liga. 

Sebagai dua pasukan yang bersaing hebat ketika itu, keputusan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM yang dipengerusikan oleh Naib Presiden FAM ketika, Datuk Che Mat Jusoh dilihat tidak peka terhadap persaingan sengit kedua-dua pasukan itu. 

Begitu pun tindakan Sathianathan memberi kenyataan kepada media sebenarnya tidak dilihat sebagai menyentuh mengenai polisi badan induk bola sepak kebangsaan itu sebagaimana kes bekas jurulatih Felda United FC musim lalu, Reduan Abdullah yang dikenakan hukuman penggantungan selama setahun gara-gara mempertikaikan ‘ujian Chopper’ yang dilakukan oleh pihak FAM. 

Sebagai jurulatih berpengalaman, Sathianathan mengetahui penanda aras bagi beliau sebelum mengeluarkan kenyataan kepada media tanpa membuta-tuli. Apa yang boleh dan apa yang tidak boleh, semuanya dalam poket beliau. Beliau sudah masak dengan sebarang polisi atau dasar pihak FAM memandangkan beliau sudah bersama skuad kebangsaan membantu jurulatih asing seperti Claude Le Roy, Hatem Soussi, Alan Harris atau Bertalan Bisckei sejak 14 tahun lalu. 

Tanpa disangka disaat hanya kurang seminggu lagi Liga Malaysia 2009/2010 melabuhkan tirainya, pihak FAM sekali lagi membuat keputusan tidak popular bagi peminat bola sepak Kelantan dalam tempoh tidak sampai seminggu. 

Sambil Sathianathan mengakui beliau pernah memberi maklum balas secara bertulis kepada pihak FAM mengenai isu tersebut kira-kira tiga bulan lalu, tanpa disangka sehari sebelum sepak mula separuh akhir kedua membabitkan pertemuan Kelantan dan Kedah di Kota Bharu, Wisma Kafa digegarkan dengan salinan faks daripada FAM menyatakan hukuman ke atas beliau. 

Agak malang bagi bola sepak negara, seseorang ‘pesalah’ bola sepak yang kononnya didapati ‘bersalah’ itu tidak diberi peluang membela diri secara bersemuka melainkan hanya merujuk kepada surat maklum balas itu sahaja. 

Bagi Sathianathan sendiri, hukuman penggantungan selama enam bulan itu bukan setakat beliau bakal kehilangan kerja dan terpaksa menjadi penganggur selama tempoh tersebut, malahan beliau terpaksa menjauhkan diri dari lapangan bola sepak kerana tidak dibenarkan terbabit secara aktif dalam tempoh itu.

Bagi senario bola sepak Kelantan,  kesannya cukup besar apabila para peminat setia kini tidak lagi berpeluang melihat sentuhan bekas jurulatih kebangsaan itu yang mencipta rekod, satu-satunya jurulatih import tempatan yang berjaya membawa The Red Warriors memasuki perlawanan akhir Piala Malaysia dalam tempoh dua tahun berturut-turut.

1 comment: