Saturday, October 30, 2010

PANEL KAFA RAIKAN KEJAYAAN SATHIANATHAN


B Sathianathan (duduk, dua kanan) diraikan oleh Panel Kejurulatihan Kafa dalam satu majlis makan malam di Kota Bharu malam semalam.

KOTA BHARU – Kejayaan B Sathianathan membawa pasukan Kelantan layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali kedua-dua berturut disambut secara ringkas menerusi majlis makan malam yang diadakan sebelum beliau berlepas ke Kuala Lumpur bersama pasukan Kelantan pagi semalam. 
 
Malam semalam, Panel Kejurulatihan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) meraikan bekas jurulatih kebangsaan itu dalam satu majlis makan malam berlangsung disebuah restoran di Kota Bharu.

Pengarah Kejurulatihan Kafa, Kamaruddin Mohd Noor berkata, majlis makan malam itu diadakan bagi meraikan kejayaan Sathianathan yang berjaya membawa Kelantan mara ke pentas final pada tahun ini. 

“Panel Kejurulatihan Kafa mengucapkan setinggi tahniah kepada Sathianathan diatas kejayaan beliau mengulangi pencapaian terbaik membawa Kelantan ke perlawanan akhir dua tahun berurut-turut.

“Kita berharap pengalaman beliau membimbing pasukan kebangsaan sebelum ini mampu diterjemahkan dengan membawa Kelantan menjadi juara Piala Malaysia buat pertama kali pada perlawanan malam esok (ini),” katanya. 

Sementara itu Sathianathan berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada Panel Kejurulatihan Kafa yang sudi menganjurkan majlis makan malam tersebut.

“Kejayaan saya membawa Kelantan ke pentas final bukan hak milik saya seorang, sebaliknya harus berkongsi bersama dengan barisan panel ini. Mereka banyak membantu saya sepanjang musim ini. Apa yang kita capai pada hari ini adalah berkat usaha diantara kedua-dua pihak.

“Mereka banyak memberi maklum balas kepada saya terutama selepas sesuatu perlawanan. Ramai yang melihat mereka ini bekerja makan gaji dengan Kafa tetapi sebenarnya tidak. Mereka melakukan secara ikhlas dan sukarela demi memastikan kegemilangan bola sepak Kelantan kembali ke tempat asalnya,” katanya.

No comments:

Post a Comment