KHAIRUL FAHMI CHE MAT
KOTA BHARU – Beraksi dalam pentas final Piala Malaysia dan seterusnya menjulang piala mungkin merupakan kemuncak tertinggi bagi karier setiap pemain bola sepak di negara ini.
Bagi penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat, dalam usia masih muda iaitu 21 tahun, peluang beraksi dalam pentas final tidak harus dilepaskan begitu sahaja.
Musim lalu beliau sekadar menyaksikan rakan sepasukannya tertunduk hampa diatas padang setelah tewas 3-1 kepada Negeri Sembilan dari tempat duduk penonton pada ketika Jurulatih Kelantan, B Sathianathan lebih berminat menggunakan khidmat penjaga gol veteran, Mohd Halim Napi dan Mohd Shahrizan Ismail.
Namun semuanya berbeza musim ini, nama Khairul Fahmi tiba-tiba melonjak naik setelah mempamerkan peningkatan luar biasa sebagai penjaga gawang nombor satu Kelantan. Beliau membuktikan dalam usia yang muda, beliau mampu mengetepikan dua lagi nama besar iaitu Mohd Halim Napi dan Syed Adney Syed Hussin dan mengambil alih tampuk sebagai penjaga gol terbaik pernah dilahirkan oleh pasukan Kelantan sejak beberapa dekad yang lalu.
Sesuai dengan status sebagai penjaga gol kebangsaan ketika ini, Khairul Fahmi atau lebih mesra dengan panggilan ‘Apek’ berazam melakukan yang terbaik bagi memastikan Kelantan berjaya membawa pulang piala paling berprestij itu ke bumi negeri Cik Siti Wan Kembang buat pertama kali.
“Perasaan gembira dan gementar tetap ada lebih-lebih lagi diberi tanggungjawab menjaga gawang pada perlawanan akhir. Walaubagaimanapun, saya percaya dengan barisan pemain yang mengganggotai skuad Kelantan musim ini, kita mampu melakarkan kejayaan dalam perlawanan akhir.
“Insya Allah, berkat doa seluruh rakyat Kelantan, saya percaya ini adalah masa yang terbaik bagi kita menjulang piala dan seterusnya membawa pulang piala tersebut ke bumi Kelantan buat pertama kali,” katanya.
No comments:
Post a Comment