Saturday, October 30, 2010

PENYOKONG KELANTAN BOTAKKAN KEPALA

Abdul Rashid Daud membotakkan kepada Azman Mamat, salah seorang penyokong setia Kelantan

KOTA BHARU – Seramai 80 penyokong setia Kelantan membayar nazar dengan membotakkan kepala semalam di atas kejayaan pasukan Kelantan layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Negeri Sembilan pada hari Sabtu ini.

Berlangsung di perkarangan Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, mereka mengadakan majlis membotakkan kepala itu sambil disaksikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tuan Mohd Hashim Tuan Yaakob.

Salah seorang penyokong Kelantan, Azman Mamat, berkata, tujuan membotakkan kepala ini untuk membayar nazar sempena kejayaan Kelantan layak ke perlawanan akhir buat kali kedua berturut-turut.

“Ini salah satu daripada usaha kami selaku penyokong Kelantan menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagian terhadap pasukan The Red Warriors,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

Setiausaha Kerja Kelab Penyokong Bola Sepak Kelantan, Harun Ali pula berkata, inisiatif yang dianjurkan oleh sebahagian penyokong Kelantan itu merupakan satu usaha yang terpuji dalam merancakkan kemeriahan penyokong Kelantan yang akan menawan Stadium Bukit Jalil pada perlawanan akhir malam ini.

“Kami penyokong Kelantan bersedia menakluki Bukit Jalil sekali lagi pada tahun ini. Saya percaya seluruh rakyat Kelantan menantikan detik pertarungan malam ini dalam menentukan pasukan manakah yang layak muncul sebagai juara edisi ke-84,” katanya.

Tukang gunting terkenal di bandar Kota Bharu, Abdul Rashid Daud sudi membotakkan kepala penyokong Kelantan secara percuma dalam majlis yang berlangsung petang semalam itu.

No comments:

Post a Comment