Saturday, October 30, 2010

PERMAINAN CANTIK, PENYOKONG TERBAIK


Annuar Musa (tengah) merayu kepada penyokong Kelantan menjaga tingkah laku ketika menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia malam ini.

KOTA BHARU – Motto “Permainan Cantik, Penyokong Terbaik”. Begitulah slogan yang disuarakan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dalam memastikan perlawanan akhir Piala Malaysia, pertemuan Negeri Sembilan menentang Kelantan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini menjadi perlawanan paling menarik dalam sejarah sejak ianya dipertandingan pada tahun 1921.

“Saya mahu pasukan Kelantan menunjukkan satu permainan cantik dan penyokong Kelantan juga perlu membuktikan mereka adalah penyokong terbaik dinegara ini. Mereka harus mengetepikan telahan pihak tertentu yang melemparkan pelbagai tuduhan terhadap mereka. Saya percaya penyokong Kelantan tidak akan bersikap agresif kerana mereka juga cintakan bola sepak,” katanya dalam sidang akhbar, semalam.

“Kalau kita mahu pasukan kita menjulang piala, para penyokong mestilah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi serta memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap pasukan kesayangan mereka. Justeru, saya merayu kepada seluruh penyokong Kelantan untuk mengubah persepsi tersebut dengan menunjukkan sokongan luar biasa pada malam ini

“Biar kita ketinggalan dari segi jaringan sekali pun, para penyokong tidak harus berganjak memberi sokongan. Tidak ada mana-mana pasukan yang bertanding untuk kalah. Pemain kita pasti akan turun untuk menang. Mereka memerlukan kekuatan tambahan daripada sokongan peminat kita,” katanya.

Annuar yang juga Timbalan Presiden FAM berkata, bagi memastikan perlawanan malam ini berjalan lancar, pemeriksaan badan yang lebih ketat turut dilakukan ke atas setiap penyokong yang akan memasuki stadium.

“Saya menyarankan para penyokong memasuki stadium lebih awal. Pintu masuk stadium akan dibuka tepat jam empat petang. Saya mengingatkan mereka untuk menjaga tatatertib semasa berada didalam stadium dan juga diluar stadium selepas perlawanan. Segala tindak-tanduk penyokong kita dalam waktu tersebut adalah dibawah tanggungjawab pihak Kafa.

“Mereka perlu ingat, FAM telah meminda peraturan sebelum ini. Sama ada penyokong pasukan tuan rumah mahu pun pelawat yang membuat onar, pihak FAM tidak teragak-agak mengenakan hukuman ke atas kita.

“Justeru, saya merayu kepada semua penyokong Kelantan jagalah disiplin dan elakkan daripada membuat kekacauan. Saya menasihatkan kepada semua penyokong Kelantan, sekiranya terdapat dikalangan mereka yang cuba mencetuskan kekecohan dengan cuba  membakar mercun dan sebagainya, mereka perlu mengambil pendekatan menasihati penyokong yang cuba melakukan tindakan tersebut. 

“Saya percaya tidak semua penyokong Kelantan yang bersikap sedemikian (mencetuskan kekecohan). Hanya segelintir sahaja yang terlibat dalam perkara tersebut. Kalau mereka sayangkan pasukan kita, mahu melihat kita menjulang piala malam ini, maka mereka harus menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi dan memberi sokongan padu kepada barisan pemain kita yang akan berjuang malam ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment