KOTA BHARU – Belum pun reda isu penggantungan Ketua Jurulatih Kelantan, B Sathianathan, perkarangan Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu petang semalam kembali bergegar dengan tindakan segelintir penyokong Kelantan yang berdemonstrasi menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan tindakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengenakan sistem penjualan tiket secara berpakej.
Salah seorang penyokong Kelantan, Mahizi Mahmood berkata, pihaknya berasa kecewa dengan tindakan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menaikkan harga tiket serta pihak Kafa sendiri mengenakan syarat tiket dibeli secara berpakej.
Mahizi Mahmood
“Kami tidak berpuas hati dengan tindakan FAM menaikkan harga tiket daripada RM20 kepada RM30 pada tahun ini. Rakyat Kelantan terutamanya peminat bola sepak Kelantan terkejut dengan tindakan FAM menaikkan harga RM30,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.
“Tidak ada alasan yang logik mengenai kenaikan harga tiket ini. Kalau untuk tujuan keuntungan dan menjahanamkan rakyat Kelantan lebih baik tidak payah. Memang kami tidak berpuas hati.
“Tindakan Kafa menaikkan harga tiket sehingga RM40 secara berpakej turut membuatkan kami kecewa. Kita minta pihak Kafa dan FAM mempertimbangkan harga tiket yang asal. Pihak Kafa tidak patut menaikkan harga tiket kerana itu seolah-olah memaksa kami membelinya secara pakej,” katanya.
Menurut Mahizi, tindakan penyokong Kelantan mengadakan demonstrasi pada hari ini bertujuan untuk menzahirkan perasaan tidak puas hati dengan tindakan Kafa.
Sementara itu, seorang penyokong tegar Kelantan, Hassan Mohamad 62 tahun, berkata, tindakan pihak FAM mengenakan harga RM30 mungkin disebabkan mereka mempunyai alasan yang tersendiri tetapi tindakan Kafa mengenakan harga RM40 secara berpakej seolah-olah mencekik darah rakyat Kelantan.
Hassan Mohamad
“Kafa tidak pernah memikirkan berapa banyak belanja yang dikeluarkan oleh setiap peminat Kelantan untuk ke Bukit Jalil. Sepatutnya Kafa harus bersimpati kerana ramai penyokong mahu ke Bukit Jalil, jangan mengambil kesempatan mengaut keuntungan.
“Kita desak Kafa supaya mengekalkan harga yang telah ditetapkan FAM mengenai harga itu. Kalau boleh, sepatutnya Kafa yang perlu menghadiahkan bendera kepada peminat. Kerana peminatlah, Kafa terus hidup dan pemain menikmati gaji yang lumayan,” katanya.
Bagi Nik Mohd Sallehuddin Nik Abd Razak, harga tiket RM30 yang dikenakan oleh pihak FAM begitu membebankan penyokong Kelantan.
Nik Mohd Sallehuddin Nik Abd Razak
“Kita kena berpijak dibumi yang nyata. Mengapa FAM membandingkan perlawanan antarabangsa seperti menentang Chelsea dengan perlawanan akhir Piala Malaysia. Itu dua situasi yang berbeza kerana perlawanan antarabangsa jauh lebih tinggi tarafnya berbanding perlawanan liga di negara ini,” katanya.
KAFA meme cekik darah.....pasti buleh tiket tuuhhh, hihihihihi
ReplyDelete