Tuesday, December 27, 2011

BERI MANFAAT KEDUA-DUA PASUKAN - DITYO

KOTA BHARU – Juara Liga Prima Indonesia (IPL), kelab Persebaya FC menyifatkan pertemuan menentang Kelantan bagi merebut trofi Yayasan Persahabatan Malaysia – Indonesia (Permai) dapat memberi manfaat bagi kedua-dua pasukan dalam membentuk kerjasama untuk meningkatkan mutu sukan bola sepak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dityo Pramano berkata, selain dapat mengeratkan hubungan serumpun di antara kedua-dua Negara, perlawanan ini juga mampu menarik sokongan peminat kedua-dua pasukan bertandang ke stadium.

“Kami tahu pasukan Kelantan merupakan satu pasukan yang kuat setelah menjuarai liga (Liga Super) di sini. Sudah pasti mereka satu pasukan bagus dan kita kena berhati-hati bertemu dengan Kelantan malam ini.

“Mungkin tidak banyak perkara yang kami tahu mengenai pasukan Kelantan tetapi saya percaya tidak ada bezanya dari segi corak permainan kedua-dua pasukan. Macam pasukan kita, ada juga turun naik dalam saingan liga sehinggalah kita bergelar juara pada musim ini.

Perlawanan bagi merebut trofi Permai ini merupakan anjuran bersama Malaysia Super League (MSL) dengan Indonesia Premier League (IPL) dan dipersetujui bersama pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI).

Mengulas mengenai perlawanan yang julung kali diadakan itu, Dityo berkata, semuanya tercetus hasil idea yang dikemukakan oleh Menteri Pemuda dan Sukan Indonesia, Andi Alifian Mallarangeng dan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Datuk Ahmad Shabery Cheek tidak lama dulu.

“Sehinggalah kedua-dua pegawai MSL dan IPL bertemu dan berbincang bagi menganjurkan perlawanan ini. Saya fikir ia amat baik bukan sahaja bagi kedua-dua pasukan tetapi Negara dalam hubungan dua hala.

Dalam perkembangan lain, Dityo juga turut menyifatkan kehadiran penyerang skuad kebangsaan, Safee Sali yang beraksi dalam Indonesia Super League (ISL) membuktikan pemain dari Negara ini mampu menembusi pasaran bola sepak di Indonesia.

“Sebelum ini pun terdapat pemain dari Indonesia beraksi dalam Liga Malaysia. Sekarang Safee (Sali) pula bermain di sana. Malah kehadiran beliau memberikan impak yang cukup besar di sana.

“Saya fikir pertukaran pemain ini merupakan satu perkembangan yang bagus bagi kedua-dua Negara,” katanya. 

No comments:

Post a Comment