Tuesday, December 27, 2011

KELANTAN MAIN SEBELAH PETANG

Azman (dua,kanan) memantau kerja-kerja pengukuran tahap pencahayaa lampu limpah sebelum perlawanan persahabatan menentang T-Team, minggu lalu. 

KOTA BHARU – Andai tiada usaha dilakukan bagi menangani masalah lampu limpah stadium dalam masa terdekat, pasukan Kelantan mungkin terpaksa beraksi pada sebelah petang dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada musim depan.

Itulah hakikat yang terpaksa dihadapi oleh Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) dan juga penyokong setia The Red Warriors itu sekiranya usaha untuk meningkatkan tahap pencahayaan di Stadium Stadium Sultan Muhammad IV gagal dilaksanakan dalam baki tempoh yang ada menjelang sepak mula Liga-M bermula 7 Januari depan.

Stadium yang berusia 44 tahun ini dilihat satu-satunya gelanggang tunggal di negeri ini yang sesuai digunakan dalam sebarang pertandingan bola sepak yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Setiausaha Agungnya, Azman Ibrahim berkata, beliau tidak menafikan pasukan Kelantan berdepan kemungkinan beraksi pada sebelah petang sebagaimana yang pernah dialami selama separuh musim pada tahun 2003.

“Daripada sembilan ‘check point’ tahap pencahayaan yang diperiksa oleh pegawai kita baru-baru ini, salah satu daripadanya gagal mencapai tahap minima 900 lux seperti yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM.

“Sekiranya masalah ini gagal diatasi, kita terpaksa beraksi pada sebelah petang. Selagi masalah ini tidak diperbaiki, kita kena bermain pada sebelah petang sehinggalah masalah lampu limpah itu tersebut dapat diatasi,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian dari Jepun, semalam. 

Menurut Azman, beliau berharap pihak Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Stadium Kelantan (PSK) mengambil tindakan segera mengatasi masalah tersebut memandangkan saingan liga hanya berbaki tidak sampai tiga minggu lagi.

Setakat ini, hanya lima gelanggang iaitu Stadium Nasional (Bukit Jalil), Stadium USM (Pulau Pinang), Stadium Utama Negeri (Kangar), Stadium Darulaman (Alor Setar) dan Stadium Temerloh (Pahang) melepasi syarat tahap pencahayaan melebihi 900 lux yang ditetapkan oleh pihak FAM.

Selain masalah lampu limpah, pihak FAM juga turut memberi teguran mengenai tiga lagi perkara yang perlu diperbaiki iaitu zon bebas halangan yang harus dilitupi dengan karpet dalam jarak 15 meter daripada kawasan tepi padang memandangkan permukaan trek di stadium tersebut diperbuat daripada bitumen.

Pihak FAM juga turut mengarahkan jam digital di pasang selaras dengan peraturan pertandingan sementara tempat duduk media yang disifatkan cukup daif dan gagal menampung kehadiran ramai wartawan media cetak dan elektronik yang membuat liputan perlawanan juga perlu dinaiktaraf. 

No comments:

Post a Comment