Tuesday, December 27, 2011

BUTLER, ALVES JANJI AKSI TERBAIK

KOTA BHARU – Dengan tema ‘Dua Kelab, Dua Negara, Satu Impian – Memartabatkan Bola Sepak Serantau’, dua pasukan berstatus juara liga, Kelantan dan Persebaya FC bakal menyajikan persembahan terbaik apabila kedua-dua pasukan beraksi turun dalam perlawanan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Kedua-dua pasukan tersebut akan beraksi dalam perlawanan pertama bagi merebut trofi Yayasan Persahabatan Malaysia – Indonesia (Permai) sementara perlawanan timbal balik akan berlangsung di Stadium Gelora 10 November, Surabaya pada 28 Disember ini.

Ketua Jurulatih Kelantan, Peter Butler menganggap meskipun pertemuan kedua-dua pasukan ini diibaratkan satu perlawanan persahabatan namun beliau tidak mahu memandang mudah pertemuan tersebut.  

“Saya tahu Persebaya FC merupakan pasukan yang bagus. Mereka mempunyai ramai pemain berkualiti dan sentiasa kerja keras. Salah seorang pemain mereka Edy Gunawan saya kenal ketika saya ketika melatih pasukan Persiba Balikpapan FC tidak lama dulu.

“Sudah pasti mereka mahu memberikan tentang sengit kepada kita. Saya menghormati keupayaan pasukan ini. Senario bola sepak di Indonesia juga sama seperti di Kelantan. Mereka mempunyai penyokong yang fanatik dan saya gembira dapat bertemu kelab ini.

“Apa yang penting, peminat yang datang ke stadium malam ini teruja dengan persembahan kedua-dua pasukan. Kita mahu peminat menyaksikan satu perlawanan menarik. Sudah pasti saya akan menampilkan kesebelasan terbaik malam ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas mesyuarat kedua-dua pasukan di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini semalam.

Sementara itu rakan sejawatannya, Divaldo Da Silva Alves yang berasal dari Portugal juga turut senada dengan Butler dan berjanji pasukannya akan mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan malam ini. 

“Kita hanya membawa 17 termasuk tiga pemain import ke sini. Selain itu, pemain skuad Indonesia Bawah 23 Tahun, Andik (Vermansyah) juga akan perkuatkan pasukan kita. Samada pasukan Kelantan ataupun Persabaya FC, kami berjanji semua penyokong di sini pasti terhibur dengan persembahan kedua-dua pasukan ini.

Dua pemain import iaitu Otavio Dutra dan Alexandre da Silva Mariano dari Brazil dan Andrew Barisic (Australia) bakal perkuatkan kelab tersebut sementara seorang lagi pemain import mereka, Mario Karlovic tidak ikut serta atas alasan peribadi.

No comments:

Post a Comment