Tuesday, December 27, 2011

AKSI PRESTIJ KELANTAN DAN PERSEBAYA FC


KOTA BHARU – Pasukan mana yang bakal menjulang trofi Yayasan Persahabatan Malaysia-Indonesia (Permai) buat julung kalinya mungkin hanya dapat ditentukan dalam perlawanan timbal balik di Stadium Gelora 10 November, Surabaya pada 28 Disember ini.

Namun yang menarik, pertemuan pertama kedua-dua pasukan, antara Kelantan selaku juara Liga Super Malaysia (MSL) dengan kelab Persebaya FC selaku juara Liga Prima Indonesia (IPL) yang akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam esok.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Afandi Hamzah berkata, hubungan serumpun yang sedia terjalin di antara kedua-dua Negara sudah pasti dapat ditingkatkan melalui penganjuran perlawanan tersebut.

“Sudah pasti ia menjanjikan persembahan yang menarik bagi kedua-dua pasukan yang memegang status selaku juara liga di Negara masing-masing. Apatah lagi kedua-dua pasukan turut diperkuatkan dengan empat pemain import masing-masing.

“Saya percaya ini merupakan peluang terbaik bagi peminat bola sepak tempatan khususnya di Kota Bharu menyaksikan aksi berprestij kedua-dua pasukan itu. Selaku juara Liga Super musim ini, ia merupakan satu penghormatan tertinggi kepada Kelantan yang mewakili Negara dan begitu juga kelab tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam selepas mempengerusikan mesyuarat bersama delegasi MSL di Kafe The Red Warriors, di sini, semalam.

Afandi yang juga Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkata, perlawanan ini merupakan anjuran bersama MSL dengan IPL dan dipersetujui bersama pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI).

“Satu sambutan besar-besaran akan melakukan bagi meraikan kehadiran pasukan tersebut di Kota Bharu petang ini (semalam) dan mereka akan latihan ringan selama 45 minit di Padang Penjara esok (hari ini) pada sebelah petang sebelum bertemu Kelantan Jumaat ini.

“Perlawanan ini juga turut menarik minat Ketua Umum, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI), Djohar Arifin Husin dan Pengerusi Persebaya FC, Saleh Ismail Mukadar yang akan hadir ke Kota Bharu bagi menyaksikan perlawanan ini,” katanya.

Sementara itu sebanyak 15,000 tiket perlawanan bagi pertemuan Kelantan menentang Persebaya FC  itu akan di jual bermula jam 10 pagi ini di Stadium Sultan Muhammad IV. Harga tiket ialah RM30 (astaka utama), RM20 (astaka dua), RM12 (terbuka) dan RM5 bagi kanak-kanak.

No comments:

Post a Comment