Thursday, December 8, 2011

BUTLER GEMBIRA PRESTASI PEMAIN MUDA

Mohammed Ghaddar (kiri) menyertai skuad Kelantan menjalani ujian Beep yang dikendalikan oleh PSISNNK di Wisma Sukan MSN, Telipot, semalam.

KOTA BHARU – Aksi cemerlang beberapa pemain muda dalam skuad Liga Malaysia (Liga-M) Kelantan ketika mengharungi persiapan pra-musim baru-baru ini ternyata menggembirakan Ketua Jurulatih, Peter Butler meskipun mereka baru sebulan menjalani latihan bersama skuad senior itu.

Dalam lima perlawanan persahabatan tersebut, Butler menguji beberapa pemain muda terdiri penjaga gol, Mohd Syazwan Yusoff, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim, Khairul Izuan Rosli, Mohd Zamri Ramli, Mohd Aris Zaidi dan Mohd Izuan Salahuddin dan terbukti kesemua mereka memanfaatkan peluang yang diberikan dengan menunjukkan persembahan yang cemerlang.

Butler berkata, kesempatan mengadakan lima perlawanan persahabatan dalam persiapan pra-musim itu memberi peluang peluang kepada beliau untuk menguji keupayaan pemain muda yang dipanggil menjalani latihan bersama skuad senior.

“Ya memang saya berpuas hati dan gembira dengan prestasi yang ditunjukkan oleh mereka. Memang itu perancangan saya untuk mendedahkan pemain-pemain muda dengan perlawanan seperti ini dan saya fikir ini merupakan satu perkembangan yang baik untuk pasukan kita.

“Mereka mesti berani bersaing dan saya perlu bagi masa kepada mereka untuk buktikan lagi kebolehan mereka. Kalau saya tidak bagi peluang macam mana saya boleh menilai kemampuan mereka. Musim depan merupakan musim yang panjang dan kita perlu menghadapi banyak perlawanan, jadi perlukan pemain yang bagus untuk pasukan kita.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan para pemainnya menjalani ‘Ujian Beep’ yang dikendalikan oleh pegawai Pusat Satelit Institut Sukan Negara Negeri Kelantan (PSISNNK) di Wisma Sukan MSN, Telipot, di sini semalam.

Mengulas mengenai prestasi ketiga-tiga pemain import skuad The Red Warriors, Butler ternyata cukup gembira dengan komitmen mereka sambil berharap pemain tempatan yang lain mempelajari sesuatu daripada mereka.

“Saya tahu Mohammed Ghaddar (Mahmoud) merupakan pemain yang berkualiti. Begitu juga Denny Antwi dan Emmanuel Okine. Mereka merupakan pemain import yang berkaliber dan sentiasa bekerja keras dalam latihan.

“Pemain tempatan yang lain harus mempelajari cara-cara mereka termasuk dari segi pemakanan dan sebagainya. Tanggungjawab ini terletak kepada semua pemain dan bukan saya. Jadi mereka sebagai pemain profesional perlu belajar sesuatu dengan pemain import ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment