Tuesday, May 31, 2011

FUTSAL KELANTAN SASAR EMAS

Rosmadi (duduk,tengah) bergambar dengan semua pemain futsal Sukma Kelantan dalam satu majlis ramas mesra di Kota Bharu, baru-baru ini.

KOTA BHARU – Pasukan bola sepak futsal Kelantan mensasarkan untuk meraih pingat emas dalam Kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) XIV yang akan berlangsung di Kuala Lumpur bermula 2 hingga 12 Jun ini.

Diundi dalam Kumpulan D bersama Kuala Lumpur, Sabah dan Perak, Kelantan yang membariskan seramai 13 pemain termasuk tiga bekas pemain yang pernah beraksi dengan skuad futsal Liga Futsal Felda-FAM tahun lalu berpeluang cerah untuk merintis kejuaraan sulung dengan syarat perlu melepasi peringkat kumpulan terlebih dahulu.

Pengerusi Jawatan Kuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai, Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Wan Hanafi Wan Yaakob berkata, pihaknya begitu yakin skuad yang dibentuk sejak dua bulan lalu mampu membawa pulang pingat emas buat pertama kali ke negeri ini.

“Kita percaya dengan kemampuan pasukan yang dibentuk ini, kita mampu mencapai sasaran untuk meraih pingat emas dalam acara yang pertama kali dipertandingkan dalam Kejohanan Sukma kali ini,” katanya dalam sidang akhbar, baru-baru ini.

“Mereka bukan sahaja membawa cabaran negeri ini tetapi pada masa yang sama tergalas dibahu mereka untuk mengukir prestasi cemerlang sebagaimana yang disasarkan oleh Majlis Sukan Negeri (MSN) Kelantan. Kita amat berbesar hati diatas peruntukkan yang disalurkan pihak MSN bagi membentuk pasukan futsal ini.

“Yang paling penting, saya ingatkan kepada semua pemain dan pegawai pasukan untuk menunjukkan disiplin terbaik sepanjang berada disana. Kita harap semangat diatas pencapaian menakjubkan pasukan Liga Super Kelantan ketika ini menjadi perangsang kepada  pasukan ini untuk mencipta kejayaan,” katanya.

Sementara itu Pengurus Pasukan, Noor Nashriq Datuk Sekarnor berkata, beliau cukup optimis Kelantan mampu meraih pingat emas dalam acara futsal biarpun acara tersebut baru pertama kali dipertandingkan dalam Kejohanan Sukma XIV ini.

“Saya percaya dengan latihan yang berterusan sejak dua bulan lalu dibawah kendalian jurulatih, Abdul Aziz (Mustapha) dan Tuan Kamree (Tuan Yahya),matlamat kita untuk meraih pingat emas pada kejohanan kali ini tercapai.

“Berdasarkan rekod, peluang kita untuk menjadi juara kumpulan amat cerah. Saingan mungkin daripada Kuala Lumpur sahaja sementara dua pasukan lain iaitu Sabah dan Perak difahamkan kurang aktif sejak dua tahun kebelakangan ini,” katanya.

Skuad futsal Kelantan akan  bertolak ke ibu negara pada hari inibagi menghadapi perlawanan pertama yang dijadualkan pada 4 Jun ini.

Monday, May 30, 2011

PAHANG DI AMBANG PENYINGKIRSN

Kesebelasan utama pemain Pahang yang diturunkan ketika menentang Kelantan di Kota Bharu, malam kelmarin.

KOTA BHARU – Bagai dirundum malang. Kekalahan tipis 0-1 kepada Kelantan ternyata meletakkan pasukan Pahang kini diambang penyingkiran ke saingan Liga Perdana musim depan.

Penolong Jurulatihnya, Ahmad Shaharuddin Ahmad Rosdi berkata, beliau sememangnya mengakui tugas berat menanti pasukannya apabila beraksi di gelanggang keramat Kelantan namun kekalahan itu menyedarkan betapa pasukannya tidak boleh kalah lagi dalam baki tiga perlawanan andai tidak mahu terjerumus ke Liga Perdana musim depan.

“Perancangan awal kita sememangnya mahu bermain mati-matian untuk tidak kalah di Kota Bharu. Walaupun kita kalah, tetapi pemain-pemain saya telah menunjukkan persembahan yang baik apabila dapat menyaingi pemain tuan rumah,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan berakhir, malam semalam.

“Setiap perlawanan begitu bernilai bagi kita untuk mendapatkan mata semaksima yang mungkin. Kita tidak boleh kalah lagi selepas ini. Andai itu terjadi kita berada dalam keadaan bahaya tersingkir ke Liga Perdana.

“Memang kalau ikutkan saya tidak berpuas hati dengan keputusan ini. Pemain saya sudah mencuba sedaya-upaya tetapi nasib masih tidak menyebelahi kita. Kita tidak ada banyak pilihan dalam menyenaraikan kesebelasan terbaik, jadi kita terpaksa mengharapkan pemain-pemain yang ada membawa cabaran pasukan Pahang,” katanya.

Menurut Ahmad Shaharuddin, ketiadaan beberapa tonggak utama sememangnya dirasakan apatah lagi  prestasi tidak menentu pasukan Pahang sejak lima perlawanan kebelakangan ini meresahkan penyokong setia mereka.

“Ketiadaan tonggak seperti R Surendran, Mohd Fazli (Baharuddin), Mohd Fadzirul (Zakaria) begitu dirasakan. Saya terpaksa meletakkan pemain muda, Mohd Shafie (Zahari) dijentera serangan. Saya sudah mencuba pemain ini dalam beberapa perlawanan lalu dan saya berpuas hati dengan prestasi dia,” katanya.

KELANTAN SAH JUARA KUMPULAN

Anak buah Zahasmi Ismail sedia mengalahkan T-Team sekali lagi di Kota Bharu, malam ini

KOTA BHARU – Biarpun masih berbaki dua perlawanan, pemain skuad Piala Presiden Kelantan sebenarnya sudah boleh meraikan kejayaan cemerlang mereka setelah muncul juara Kumpulan A Liga Piala Presiden musim ini.

Kejayaan mengalahkan Perak 2-1 di Ipoh minggu lalu membolehkan The Presiden Warriors muncul juara kumpulan setelah penerajui liga sebelum ini, Sabah tewas mengejut 4-0 kepada Johor FC di Pasir Gudang.

Penolong Pengurus Pasukan, Mohd Yusri Ismail berkata, kejayaan muncul juara kumpulan dan seterusnya secara automatik layak ke peringkat suku akhir merupakan satu pencapaian terbaik pasukan setelah gagal menempatkan diri didalam kelompok lapan pasukan terbaik sejak dua musim lalu.

“Kejayaan muncul juara kumpulan merupakan satu pencapaian yang cukup membanggakan bukan sahaja kepada pasukan ini bahkan pihak Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sendiri yang begitu mengambil berat mengenai pasukan ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

“Setelah dua tahun gagal melayakkan diri ke saingan suku akhir, kita bukan sahaja layak (ke suku akhir) malah muncul sebagai juara kumpulan. Saya fikir kejayaan ini merupakan hasil kerja keras semua pihak dan mereka sememangnya berhak meraikan kejayaan ini.

“Justeru, saya mahu perlawanan ditempat sendiri menentang T-Team malam ini berakhir dengan kemenangan. Saya mahu semua pemain beraksi dengan cemerlang dan menghadiahkan kemenangan kepada peminat setia yang sentiasa memberikan sokongan kepada pasukan selama ini,” katanya.

Menurut Mohd Yusri, walaupun pertemuan menentang T-Team malam ini Kelantan hanya sekadar memerlukan keputusan seri, namun beliau percaya barisan pemainnya tidak merelakan berkongsi mata apatah lagi ini merupakan perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Kota Bharu.

“Walaupun kita pernah mencatatkan kemenangan tipis 3-2 ke atas T-Team ditempat mereka minggu lalu, namun saya tidak mahu pemain memandang mudah pertemuan ulangan ini. Kita akan tetap akan menurunkan barisan terkuat menghadapi mereka.

“Saya mengharapkan semua peminat setia bola sepak hadir beramai-ramai ke stadium malam ini bagi memberi sokongan kepada pemain muda setelah ‘pasukan abang’ tewas 1-2 kepada T-Team tempohari,” katanya.

KARATHU PUAS WALAUPUN MENANG TIPIS

Pemain pertahanan Kelantan, Mohd Farisham Ismail diasak dari belakang oleh Mohd Munir Amran dalam perlawanan yang menyaksikan Kelantan menang 1-0 ke atas Pahang, malam kelmarin.

KOTA BHARU – Tiga mata penting yang diraih ketika mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Pahang memberi kelegaan buat pengendali pasukan Kelantan, Datuk M Karathu dalam mencongak untung nasib pasukannya memburu kejuaraan liga setelah hanya mampu meraih satu mata dalam dua perlawanan lalu.

Karathu berkata, kemenangan tersebut membuka ruang kepada Kelantan kembali bersaing bersama Terengganu dan Selangor dalam memburu kejuaraan ketika saingan liga semakin menghampiri penamatnya.

“Saya gembira walaupun kita sekadar menang tipis. Walaupun kita mempunyai sekurang-kurangnya lima peluang terbaik termasuk sepakan penalti tetapi gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan namun yang penting kita dapat mengutip tiga mata dalam perlawanan ini,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan berakhir, malam semalam.

“Seperti yang saya katakan sebaik sahaja kita tewas kepada T-Team tempohari, kita masih mempunyai baki empat perlawanan dan dalam bola sepak apa-apa boleh berlaku. Kita menang disini 1-0 (ke atas Pahang) tetapi Terengganu tewas 0-1 kepada Kedah, jadi saingan masih terbuka bagi kedua-dua pasukan.

“Pada separuh masa kedua, saya akui tekanan berpihak kepada kita biarpun sedang mendahului ketika itu. Kita mencipta banyak peluang tetapi gagal menjaringkan gol. Pahang pula sentiasa memberi tentangan sengit kerana mereka menyedari mereka juga berpeluang untuk sekurang-kurangnya mencuri satu mata disini,” katanya.

Ditanya mengenai persembahan keseluruhan anak buahnya dalam perlawanan itu, Karathu ternyata tidak berpuas hati dengan aksi tidak konsisten pemainnya sambil mengakui faktor beraksi 10 perlawanan dalam tempoh 28 hari sememangnya menjejaskan prestasi pasukan.

“Saya terpaksa membuat pertukaran dua tiga pemain bagi mempertahankan defisit satu gol yang dimiliki. Inilah masalahnya apabila pemain kita melalui sindrom keletihan yang berpanjangan.

“Mereka hilang keyakinan setiap kali berada didepan pintu gol, malah sepakan penalti juga tidak menepati sasaran. Kita sebenarnya berhadapan dengan tekanan, kehilangan tenaga dan segala-galanya.

“Saya fikir tempoh rehat selama 10 hari perlu diisi dengan perancangan untuk meningkatkan kembali mental pemain. Dengan berbaki tiga perlawanan, kita masih berpeluang memenangi kejuaraan liga dengan syarat memenangi kesemua perlawanan itu ,” katanya.

Sunday, May 29, 2011

KELANTAN KEMBALI TERAJU LIGA


KELANTAN 1
Muhd Badhri Radzi (m-8)

PAHANG 0

KOTA BHARU – Kelantan kembali merampas gelaran pendahulu liga biarpun hanya mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Pahang dalam aksi perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Kekalahan tipis jiran tetangga, Terengganu 0-1 kepada Kedah membolehkan Kelantan mengungguli carta liga menerusi kelebihan jumlah jaringan walaupun berkongsi jumlah mata yang sama.

Seawal minit kedua, Kelantan menjelmakan kegarangannya untuk memburu gol pertama apabila hantaran lintang Mohd Nurul Azwan Roya ke dalam kotak penalti pantas disambut Norshahrul Idlan Talaha namun rembatannya terus ke dakapan penjaga gol Pahang, Mohd Rosfaizul Azuar Ali.

Selang seminit kemudian, pemain pertahanan Pahang, Mohd Shahrizan Salleh yang meluru ke atas sempat melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti namun tersasar jauh daripada pintu gol Kelantan.

Pada minit kelima, hantaran cantik ke belakang oleh Norshahrul Idlan kepada Mohd Nurul Azwan didalam kotak penalti juga berakhir dengan kekecewaan apabila rembatannya hanya melintasi di depan pintu gol Pahang biarpun Mohd Rosfaizul Azuar sudah tertewas dalam situasi tersebut.

Pada minit ketujuh, Pahang kembali mencemaskan pintu gol Kelantan apabila Azamuddin Mohd Akil bijak melakukan lantaran lintang ke dalam kotak penalti namun Mohd Munir Amran gagal menampan hantaran tersebut biarpun pintu gol sudah ternganga.

Selang seminit kemudian, Ketua Pasukan, Muhd Badhri menceriakan penyokong The Red Warrior apabila menjaringkan gol tunggal dalam perlawanan malam tadi. Sepakan lambung Mohd Nurul Azwan dari sebelah kiri pintu gol ditampan kemas Muhd Badhri sebelum tolakannya berjaya menewaskan Mohd Rosfaizul digawang golnya.

Biarpun ketinggalan, pemain Pahang tidak mudah tertekan sebaliknya turut mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan. Hasil pada m-21, rembatan Mohd Munir Amran dari luar kotak penalti hanya sedikit melewati pintu gol Kelantan.

Pada m-24, tindakan Azamuddin Mohd Akil menjatuhkan Mohd Nurul Azwan didalam kotak penalti mengundang padah apabila pengadil perlawanan tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada Kelantan. Namun Norshahrul Idlan gagal merembat tepat apabila sepakannya ditepis keluar Mohd Rosfaizul Azuar.


Pada m-28, kesilapan penjaga gol, Mohd Rosfaizul Azuar menyepak lemah pantas direbut Norshahrul Idlan yang sempat melorongkan bola kepada S Chanturu namun percubaannya pula dihadang pemain pertahanan pasukan pelawat.

Pada m-43, Azamuddin sekali lagi gagal menyempurnakan peluang terbaik bagi pasukannya apabila rembatan sedikit tersasar disebelah kanan pintu gol setelah berlaku situasi kelam kabut didepan pintu gol Kelantan.

Seminit babak kedua bersambung, pasukan pelawat nyaris menyamakan kedudukan apabila hantaran lintang Mohd Munir gagal ditangkap kemas Khairul Fahmi namun tolakan Famirul Asraf Sayuti cukup lemah apabila Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid sempat menyepak keluar diatas garisan gol.

Malah, pada m-51, Mohd Munir sekali lagi menjadi duri dalam daging merencanakan corak serangan Pahang apabila sepakan percumanya dari jarak 25 meter nyaris menghasilkan gol namun kecekapan Khairul Fahmi menafikan hajat Pahang untuk menyamakan kedudukan.  

Selang seminit kemudian, Kelantan kembali menggandakan asakan dan hasilnya Chanturu turut mempunyai peluang terbaik untuk menjarakkan kedudukan namun rembatan kencangnya dari luar kotak penalti sekadar menerjah jaring sisi sebelah kanan pintu gol Pahang.

Dua minit kemudian, Norshahrul Idlan yang kian dahagakan gol dalam usahanya memburu gelaran penjaring terbanyak liga sekali terlepas peluang apabila kuisannya diselamatkan Mohd Rosfaizul Azuar setelah Mohd Zaiza Zainal Abidin tertolak ke gawang sendiri dalam usahanya menyelamatkan situasi kelam kabut di depan pintu gol pasukannya.

Terdesak untuk mengukuhkan kedudukan, Datuk M Karathu pantas memasukkan Muhammad Ramzul Zahini Adenan pada m-57 untuk menambahkan sengat dibahagian serangan namun aksi mantap benteng pertahanan Pahang sentiasa menyukarkan rangkaian penyerang Kelantan untuk membawa masuk bola ke dalam kotak penalti.

Pemain sayap kiri, Mohd Nurul Azwan turut mempunyai dua peluang terbaik untuk mengukuhkan kedudukan Kelantan namun rembatannya pada m-61 tersasar disebelah kanan sementara percubaannya empat minit selepas itu tersasar disebelah kiri pintu gol Pahang.

Begitu disebalik asakan menggila pemain Kelantan, Azamuddin yang menerima umpanan Ketua Pasukan, Jalaluddin Abu Jaafar sekali lagi turut mencuri tumpuan apabila sempat melakukan rembatan kencang yang melewati pintu gol pada m-69 perlawanan.

Pujian harus diberikan kepada penjaga gol Pahang, Mohd Rosfaizul Azuar yang beraksi cemerlang malam tadi termasuk menyelamatkan percubaan Muhd Badhri dari luar kotak penalti pada m-74.

Sisa perjuangan anak buah Datuk M Karathu untuk menambahkan jaringan tertutup apabila tipu helah Norshahrul Idlan yang memperdayakan Mohd Hazri Rozali disebelah tepi pintu gol Pahang berakhir dengan hantaran lintangnya gagal ditampan Muhd Badhri didalam kotak penalti pada m-81 perlawanan.

Sementara percubaan terakhir Kelantan pada perlawanan hanya berbaki tujuh minit untuk ditamatkan juga hampa setelah hantaran silang yang dilakukan Mohd Nurul Azwan hasil serangan balas sempat dikeluarkan Mohd Shahrizan didepan pintu golnya.  

Kesebelasan utama pemain :

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Farisham Ismail, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, S Subramaniam (Wan Rohaimi Wan Ismail), Zairul Fitree Ishak, Mohd Nurul Azwan Roya, Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Shakir Shaari, Solehin Kanasian Abdullah (Mohd Izuan Salahuddin), S Chanturu (Muhammad Ramzul Zahini Adenan) dan Norshahrul Idlan Talaha.

FORMASI : 4-4-2

PAHANG : Mohd Rosfaizul Azuar Ali, Mohd Saiful Nizam Miswan, Jalalludin Abu Jaafar (KP), Mohd Shahrizan Salleh, Mohd Zaiza Zainal Abidin (Muhammad Syawal Norsam), Mohd Hazri Rozali, R Surendran (Mohd Faizol Hussin), Famirul Asraf Sayuti, Mohd Munir Amran, Azammuddin Mohd Akil dan Mohd Shafie Zahari.

FORMASI : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Kelantan (3) Pahang (3)
Percubaan tersasar : Kelantan (6) Pahang (6)
Sepakan penjuru : Kelantan (8) Pahang (7)
Sepakan percuma : Kelantan (11) Pahang (20)
Offsaid : Kelantan (6) Pahang (4)
Kekasaran : Kelantan (13) Pahang (6)
Kad kuning : Kelantan (Zairul Fitree Ishak) Pahang (Mohd Zaiza Zainal Abidin)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan : Lima minit
Penguasaan bola : Kelantan (55%) Pahang (45%)

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Syed Azhar Syed Kamar
Penolong Pengadil 1: Mohd Mazlan Desa
Penolong Pengadil 2: Nojey Naking
Pegawai Keempat : Mohd Rahimi Mohd Noor
Kommisioner Perlawanan : Roslan Mansor
General Kordinator : Arif Hassan

Thursday, May 26, 2011

RED WARRIORS TUMBANG


KELANTAN 1
Mohd Nurul Azwan Roya (m-86)

T-TEAM 2
Mohd Badrul Hishani Abd Rahman (m-45)
Indra Putra Mahayuddin (m-97)

KOTA BHARU – Rekod tanpa kalah Kelantan di gelanggang sendiri musim ini akhirnya lebur setelah kecundang 1-2 kepada T-Team dalam aksi perlawanan Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam tadi.

Gol pemusnah menerusi bekas Ketua Pasukan Kelantan musim lalu, Indra Putra Mahayuddin pada m-97 perlawanan memaksa The Red Warriors melepaskan gelaran pendahulu liga kepada Terengganu yang mencatatkan kemenangan besar 5-0 ke atas Pahang malam tadi.

T-Team yang bertandang ke Kota Bharu dengan misi sukar untuk memburu kemenangan memulakan asakan seawal minit kedua menerusi hantaran lintang Mohd Badrul Hishani Abd Rahman ke dalam kotak penalti namun tandukan Mohd Hafis Safwan Md Kamal tersasar disebelah kanan pintu gol Kelantan.

Dua minit kemudian, Kelantan kembali membalas serangan kali ini menerusi lorongan cantik Mohd Farisham Ismail kepada Norshahrul Idlan Talaha didalam kotak penalti namun penjaga gol T-Team, Mohd Zairi Hafiezi Idris terlebih dahulu keluar menyelamatkan keadaan.

Pada minit keenam, pasukan pelawat nyaris memperolehi gol pertamanya menerusi percubaan pemain tengah, Zairo Anuar Zailani dari luar kotak penalti yang memaksa penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat merebahkan badan untuk menepis keluar rembatan tersebut.

Begitu pun, Kelantan turut berpeluang berada didepan enam minit kemudian menerusi gerakan solo Mohd Nurul Azwan Roya dari tengah padang namun rembatannya cukup lemah untuk menghasilkan gol pertama Kelantan.

Tiga minit kemudian, Mohd Nurul Azwan sekali lagi bijak memperdayakan Norfazly Alias di penjuru padang tetapi rembatan leretnya sedikit tersasar disebelah kiri pintu gol T-Team.

Pada m-24, Muhd Badhri Radzi yang menerima hantaran lintang S Chanturu mensiakan peluang terbaik untuk meletakkan Kelantan dihadapan apabila tandukannya sedikit tersasar disebelah kiri pintu gol.

Pada m-42, gerakan solo menarik Norshahrul Idlan berjaya memperdayakan tiga pemain pertahanan T-Team namun rembatan kencangnya diselamatkan Mohd Zairi Hafiezi digawang gol pasukannya.

Minit-minit akhir babak pertama, T-Team memperolehi gol pertamanya hasil ‘jaringan kontroversi’ menerusi rembatan Mohd Badrul Hisani setelah berlaku situasi kelam kabut didepan pintu gol Kelantan.

Tindakan pengadil membenarkan jaringan tersebut mencetuskan rasa tidak puas hati pemain Kelantan yang mendakwa bola yang dihantar Mohd Norfarhan kepada Mohd Badrul Hisani sebelum itu sudah pun terkeluar daripada garisan kawasan permainan.

Tiga minit babak kedua bersambung, pasukan T-Team gagal menjarakkan kedudukan apabila serangan balas pantas menerusi Mohd Norfarhan Muhammad gagal dimanfaatkan dengan sempurna Mohd Haris Safwan didepan pintu gol Kelantan.

Pada m-55, Zairo Anuar yang menerima umpanan Indra Putra Mahayuddin sekali lagi mencemaskan pintu gol Kelantan apabila merembat kencang ke pintu gol Kelantan namun sempat ditepis keluar Khairul Fahmi.

Namun selepas itu, pengadil perlawanan, Shokri Nor terpaksa menghentikan perlawanan terhenti hampir enam minit gara-gara segelintir penyokong Kelantan bertindak membaling objek ke dalam padang.

Begitupun rentak pasukan T-Team tidak mudah terganggu dengan insiden tersebut sebaliknya kian rancak melancarkan serangan ke pintu gol Kelantan. Hasilnya pada m-66, Mohd Norfarhan hampir menambah derita pasukan Kelantan menerusi tandukan tajam didepan pintu gol Kelantan namun diselamatkan sekali lagi Khairul Fahmi.

Pujian harus diberikan kepada dua pemain pertahanan T-Team, Azizi Matt Rose dan Norfadzly Alias yang beraksi cemerlang mengekang asakan bertali arus pemain Kelantan dalam perlawanan malam tadi.

Kelantan mempunyai dua peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan selepas itu apabila rembatan kencang Norshahrul Idlan pada -74 diselamatkan Mohd Zairi Hafiezi sementara Muhd Badhri pula mensia-sia peluang terbaiknya apabila menyepak liar pada m-79 sekalipun tidak dikawal oleh pemain pasukan pelawat.

Akhirnya gol penyamaan Kelantan hadir pada m-86 perlawanan menerusi jaringan Mohd  Nurul Azwan yang merembat kencang setelah menerima hantaran pendek Norshahrul Idlan didalam kotak penalti.

Namun kesilapan pemain pertahanan, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid yang gagal mengeluarkan bola didepan pintu gol Kelantan pada masa tambahan akhirnya dihukum menerusi rembatan rendah Indra Putra menewaskan Khairul Fahmi untuk memastikan rekod tanpa kalah bekas pasukannya dihalaman sendiri berakhir malam tadi.

Kesebelasan utama pemain :

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Farisham Ismail, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, S Subramaniam, Zairul Fitree Ishak (Mohd Izuan Salahuddin), Mohd Nurul Azwan Roya, Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Shakir Shaari, Solehin Kanasian Abdullah (Danial Fadzli Abdullah), S Chanturu (Mohd Nizab Ayub) dan Norshahrul Idlan Talaha.

FORMASI : 4-4-2

T-TEAM : Mohd Zairi Hafiezi Idris, Azizi Matt Rose, Rosdi Talib (KP), Norfazly Alias, Mohd Shahrul Ezrain Samsudin, Zairo Anuar Zailani, Tengku Hasbullah Raja Hassan, Indra Putra Mahayuddin, Muhd Badrul Hisani Abd Rahman (Hisbullah Awang), Mohd Norfarhan Muhammad dan Mohd Haris Safwan Md Kamal (Azrul Hazran Amiludin Baki).

FORMASI : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Kelantan (1) T-Team (2)
Percubaan tersasar : Kelantan (4) T-Team (4)
Sepakan penjuru : Kelantan (11) T-Team (8)
Sepakan percuma : Kelantan (13) T-Team (12)
Offsaid : Kelantan (0) T-Team (2)
Kekasaran : Kelantan (10) T-Team (11)
Kad kuning : Kelantan (Zairul Fitree Ishak) T-Team (Zairo Anuar Zailani dan Mohd Haris Safwan Md Kamal)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan : 11 minit
Penguasaan bola : Kelantan (52%) T-Team (48%)

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Shukri Nor
Penolong Pengadil 1: Wan Ismail Wan Ali
Penolong Pengadil 2: Ismail Samid
Pegawai Keempat : Mohd Rahimi Mohd Noor
Kommisioner Perlawanan : Mohd Jamil Zakaria
General Kordinator : Arif Hassan





Wednesday, May 25, 2011

MOTIVASI TINGGI BENAM T-TEAM

KARATHU

KOTA BHARU – Pertemuan menarik dua musuh baru bola sepak tempatan,  Kelantan menentang T-Team di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini dijangka membuka dimensi baru bagi kedua-dua pasukan bagi melebarkan rekod kemenangan masing-masing.

Rekod pertemuan sepanjang musim ini seimbang dimana kedua-dua pasukan masing-masing menang sekali daripada dua pertemuan sebelum ini. Dalam perlawanan pusingan pertama Liga Super, skuad kendalian Ahmad Yunus Aliff menang tipis 4-3 di Kuala Terengganu sementara aksi pusingan pertama kalah mati kempen Piala FA, Kelantan berjaya menyingkirkan T-Team menerusi sepakan penalti 6-5 setelah terikat seri 1-1.

Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu berkata, pertemuan menentang T-Team memberikan signifikan tersendiri sambil perjuangan The Red Warriors dalam mengejar kejuaraan liga sudah pasti dihimpit dengan dua pencabar terdekatnya, Terengganu dan Selangor yang turut mengintai peluang untuk memintas Kelantan.

“Kekalahan 4-3 pada pusingan pertama masih lagi dirasai. Jelas saya tidak mahu kecewa lagi dan pertemuan ini harus menjadi medan kebangkitan pemain Kelantan untuk memadamkan keegoan T-Team dengan mencipta kemenangan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Saya tidak mahu merendah diri kali ini dan penting saya katakan betapa Kelantan harus menang dihadapan penyokong sendiri. Biarpun T-Team bersemangat tinggi untuk menghadapi kita, namun kita juga mempunyai motivasi tinggi untuk menang pada pertemuan kali ini. Saya fikir sokongan peminat tempatan juga bakal menyemarakkan pemain kita untuk beraksi cemerlang malam ini

“Satu perkara yang saya ingatkan kepada pemain, walaupun kadang-kala aksi T-Team tidak konsisten, namun kebangkitan dengan mereka mengalahkan Selangor 2-1 dan mengatasi Sabah 3-1 membuktikan pasukan kelab yang dibarisi rata-rata pemain berpengalaman itu tidak boleh dipandang mudah,” katanya.

Menurut Karathu, kegagalan mengutip mata penuh di Shah Alam tempohari memberi ilham kepada beliau untuk melakukan sedikit rombakan terhadap pasukan bagi merangka strategi ampuh mengekang

Norshahrul Idlan terus menjadi sandaran Kelantan untuk menggegar pintu gol T-Team malam ini.

“Mohd Daudsu (Jamaluddin) terpaksa diketepikan kerana menjalani penggantungan satu perlawanan. Tempat dia akan diisi oleh Mohd Farisham (Ismail) yang akan bermain diposisi bek kanan sementara Mohd Rizal Fahmi (Ab Rosid) kembali menerajui pertahanan tengah bergandingan bersama S Subramaniam.

“Besar kemungkinan Solehin Kanasian (Abdullah) bakal kembali diposisi sayap kanan sambil tugas penggempur digalas S Chanturu yang akan berpasangan dengan Norshahrul Idlan (Talaha). Ada kemungkinan saya merehatkan Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) yang melepaskan banyak peluang dalam pertemuan menentang Harimau Muda tempohari,” katanya.

Barisan kemungkinan Kelantan : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Farisham Ismail, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, S Subramaniam, Zairul Fitree Ishak, Mohd Nurul Azwan Roya, Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Shakir Shaari, Solehin Kanasian Abdullah, S Chanturu dan Norshahrul Idlan Talaha.

T-TEAM MERENDAH DIRI

AHMAD YUNUS MOHD ALIFF

KUALA TERENGGANU - Mengakui cabaran besar menanti, pengendali T-Team, Yunus Alif, tetap positif anak buahnya mampu memberi saingan kepada Kelantan dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.

Keyakinan itu berasas memandangkan tiga tonggak utamanya iaitu Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad dan Azizi Matt Rose pernah beraksi dengan juara Piala Malaysia itu musim lalu.

Bagaimanapun, beliau mahu para pemainya bijak mengawal emosi ketika berdepan dengan penyokong fanatik tuan rumah malam ini yang sudah pasti tidak sabar menanti kunjungan pasukannya bertandang ke Kota Bharu.

“Saya berharap para pemain bermain seperti biasa dan tidak mudah tertekan sekalipun beraksi dihadapan ribuan penyokong Kelantan. Mereka perlu bijak mengawal emosi dan memanfaatkan setiap peluang yang terhidang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Meskipun kesemua pemain masih lagi keletihan berikutan mengharungi jadual perlawanan yang padat, namun kita telah bersiap sedia untuk menghadapi Kelantan pada perlawanan malam ini.

“Kemungkinan kita terpaksa turun tanpa penjaga gol utama, Mohd Syamsuri Mustaffa yang masih mengalami kecederaan lutut kiri. Namun kedudukannya sama ada diturunkan hanya dapat ditentukan oleh pegawai perubatan pasukan esok (hari ini).

Yunus dalam nada rendah diri turut mengakui, T-Team yang turun selaku pasukan bukan pilihan perlu bekerja keras untuk mengumpul mata walaupun mengakui bakal menghadapi ujian getir ketika bertemu dengan Kelantan malam ini.

“Sekarang ini kita perlu berusaha keras untuk mengumpul mata dalam setiap perlawanan bagi mengekalkan kedudukan terbaik. Kita tidak ada banyak pilihan kecuali perlu menang kesemua baki perlawanan bagi menempatkan pasukan kita didalam kelompok lima pasukan terbaik musim ini,” katanya.

Pasukan berstatus kelab, T-Team sedang bergelut dengan prestasi semasa kini menghuni tangga ketujuh liga selepas mengharungi 21 perlawanan dengan mengumpul 28 mata.

Barisan kemungkinan T-Team : Mohd Zairi Hafiezi Idris, Mohd Shazlan Alias, Azizi Matt Rose, Rosdi Talib (KP), Norfazly Alias, Zairo Anuar Zailani, Tengku Hasbullah Raja Hassan, Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad, Mohd Saaufi Sa’adi dan Mohd Haris Safwan Md Kamal.

SUNTIK SEMANGAT ABANG

MOHD YUSRI

KOTA BHARU – Menjelang pertemuan Liga Super menentang T-Team malam ini, The Red Warriors menerima suntikan semangat awal setelah adiknya, The President Warriors berjaya mengalahkan T-Team 3-2 dalam perlawanan Liga Piala Presiden di Padang C, Kompleks Sukan Negeri, Gong Badak, petang kelmarin.

Dalam perlawanan itu, penyerang Kelantan, Mohd Farhan Yaakub muncul wira apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit-minit akhir perlawanan. Biarpun pasukan T-Team mendahului 1-0 pada awal permainan, namun Khairul Izuan Rosli berjaya menyamakan kedudukan seminit sebelum rehat untuk memastikan kedudukan terikat 1-1.

Penyerang yang baru pulih daripada kecederaan, Mohd Aris Zaidi menjaringkan gol kedua Kelantan pada m-85 sebelum tuan rumah menyamakan kedudukan 2-2 dua minit kemudian. Namun Mohd Farhan menutup sisa-sia perjuangan T-Team apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit-minit akhir bagi membolehkan Kelantan merampas gelaran pendahulu liga buat pertama kali dari Sabah.

Penolong Pengurus Pasukan, Mohd Yusri Ismail berkata, dengan kemenangan tipis itu Kelantan mengesahkan tempat layak ke peringkat suku akhir biarpun saingan liga masih lagi berbaki tiga perlawanan.

“Kemenangan ini memberi seribu makna kepada kita. Setelah sekian lama mengekori Sabah sejak awal musim, akhirnya kita berjaya merampas gelaran selaku pendahulu liga buat pertama kali,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam. 
Kesebelasan utama pemain Kelantan yang diturunkan ketika mengalahkan T-Team 3-2 di Gong Badak dua hari lalu.
 
“Kemenangan ini juga diharap mampu menyuntik semangat kepada pasukan Liga Super Kelantan yang akan turun berentap dengan T-Team malam esok (ini). Kita berharap pasukan abang dapat mengikut jejak langkah seterusnya membalas dendam diatas kekalahan pada pusingan pertama lalu.

“Kita akan ke akan Ipoh malam ini bagi bertemu Perak pada hari Khamis. Sudah pasti kita mahu meraih tiga mata sekali pun beraksi di gelanggang lawan bagi mengukuhkan kedudukan kita dipersada liga,” katanya.

Tuesday, May 24, 2011

KARATHU KECEWA KONGSI MATA

Muhammad Ramzul Zahini (tertiarap) jelas kecewa apabila mensia-siakan dua peluang terbaiknya untuk memastikan Kelantan meraih tiga mata dalam pertemuan menentang Harimau Muda, malam semalam.
 
KOTA BHARU – “Saya kecewa’. Begitulah luahan Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu setelah melihat anak buahnya dipaksa berkongsi mata setelah terikat seri 2-2 dengan Harimau Muda ‘A’ dalam aksi perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam semalam.

Karathu ketika dihubungi berkata, beliau tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya tatkala melihat barisan pemainnya mensia-siakan peluang terbaik untuk meraih kemenangan seterusnya menjarakkan kedudukan dalam carta liga ketika ini.

“Seri lebih baik daripada kalah, namun dalam perlawanan sebegini kita hanya mendapat satu mata tetapi kehilangan dua mata. Saya sedih dan kecewa kerana kita kehilangan mata dalam perlawanan sepenting ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Memang Harimau Muda menunjukkan satu persembahan yang bagus dengan mempamerkan serangan balas pantas dan tempo permainan mereka juga begitu laju. Namun itu tidak bererti kita tidak mampu menyaingi corak permainan mereka. Saya tidak nampak mengapa kita harus mencatatkan keputusan seri dalam perlawanan ini.

“Saya fikir sekiranya dua peluang terbaik yang diperolehi menerusi Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) dimanfaatkan sepenuhnya, sudah pasti keputusan perlawanan akan berubah. Namun itu tidak berlaku dan inilah hasilnya (keputusan seri),” katanya.

Menurutnya, kegagalan pemainnya memanfaatkan peluang terhidang dan ditambah dengan aksi tidak konsisten menjadi punca mengapa Kelantan hanya mampu mencuri satu mata dalam perlawanan malam semalam.

“Dalam bola sepak, anda tidak boleh mengharapkan sepuluh peluang datang kepada kita. Kadang-kala kita hanya mempunyai dua peluang dan kita harus memanfaatkan kedua-dua peluang tersebut.

 “Itulah masalah kita. Kita tidak boleh bergantung kepada seseorang penyerang sahaja untuk menjaringkan gol. Sukar untuk kita mencapai kemenangan kalau kita masih mengharapkan perkara seperti itu.

“Saya tidak gembira dengan keputusan ini. Keputusan ini menyukarkan kita untuk menjarakkan kedudukan daripada pencabar terdekat. Dengan berbaki lima perlawanan, kita tidak ada pilihan selain perlu menang kesemua perlawanan itu,” katanya.

Dalam aksi pertemuan menentang Harimau Muda ‘A’ malam semalam, Kelantan terselamat daripada menerima kekalahan apabila bangkit menyamakan kedudukan setelah dua kali ketinggalan. Gol penyamaan empat minit sebelum perlawanan berakhir menerusi jaringan cantik Norshahrul Idlan Talaha menyelamatkan maruah pasukan Kelantan daripada diaibkan oleh Harimau Muda ‘A’.

Monday, May 23, 2011

KAFA SEDIA BANTU URUSKAN PEMBELIAN TIKET

KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) bersedia membantu menguruskan pembelian tiket untuk peminatnya menyaksikan perlawanan akhir Piala FA menentang Terengganu di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada 11 Jun ini.

Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, berkata pihaknya juga telah berunding dengan pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk mengadakan perkhidmatan tempahan khas bagi penyokong negeri itu bertandang ke Stadium Nasional, Bukit Jalil.

“Ini bagi memastikan 60,000 penyokong setia Kelantan hadir menyaksikan  dan memberi sokongan kepada pasukan Kelantan yang akan beraksi didalam perlawanan akhir itu," katanya selepas berucap pada majlis orientasi dan pendaftaran pelatih-pelatih Akademi Red Warriors Al-Hamra (ARMY) di Padang Kala, dekat sini, semalam.

Kelantan layak ke perlawanan akhir menerusi agregat 6-2 mengatasi Selangor sementara negeri jiran tetangga, Terengganu turut mara setelah menyingkirkan Pahang menerusi agregat 5-2.

ANNUAR MUSA