Kesebelasan utama pemain Pahang yang diturunkan ketika menentang Kelantan di Kota Bharu, malam kelmarin.
KOTA BHARU – Bagai dirundum malang. Kekalahan tipis 0-1 kepada Kelantan ternyata meletakkan pasukan Pahang kini diambang penyingkiran ke saingan Liga Perdana musim depan.
Penolong Jurulatihnya, Ahmad Shaharuddin Ahmad Rosdi berkata, beliau sememangnya mengakui tugas berat menanti pasukannya apabila beraksi di gelanggang keramat Kelantan namun kekalahan itu menyedarkan betapa pasukannya tidak boleh kalah lagi dalam baki tiga perlawanan andai tidak mahu terjerumus ke Liga Perdana musim depan.
“Perancangan awal kita sememangnya mahu bermain mati-matian untuk tidak kalah di Kota Bharu. Walaupun kita kalah, tetapi pemain-pemain saya telah menunjukkan persembahan yang baik apabila dapat menyaingi pemain tuan rumah,” katanya kepada pemberita sejurus perlawanan berakhir, malam semalam.
“Setiap perlawanan begitu bernilai bagi kita untuk mendapatkan mata semaksima yang mungkin. Kita tidak boleh kalah lagi selepas ini. Andai itu terjadi kita berada dalam keadaan bahaya tersingkir ke Liga Perdana.
“Memang kalau ikutkan saya tidak berpuas hati dengan keputusan ini. Pemain saya sudah mencuba sedaya-upaya tetapi nasib masih tidak menyebelahi kita. Kita tidak ada banyak pilihan dalam menyenaraikan kesebelasan terbaik, jadi kita terpaksa mengharapkan pemain-pemain yang ada membawa cabaran pasukan Pahang,” katanya.
Menurut Ahmad Shaharuddin, ketiadaan beberapa tonggak utama sememangnya dirasakan apatah lagi prestasi tidak menentu pasukan Pahang sejak lima perlawanan kebelakangan ini meresahkan penyokong setia mereka.
“Ketiadaan tonggak seperti R Surendran, Mohd Fazli (Baharuddin), Mohd Fadzirul (Zakaria) begitu dirasakan. Saya terpaksa meletakkan pemain muda, Mohd Shafie (Zahari) dijentera serangan. Saya sudah mencuba pemain ini dalam beberapa perlawanan lalu dan saya berpuas hati dengan prestasi dia,” katanya.
No comments:
Post a Comment