Monday, May 30, 2011

KELANTAN SAH JUARA KUMPULAN

Anak buah Zahasmi Ismail sedia mengalahkan T-Team sekali lagi di Kota Bharu, malam ini

KOTA BHARU – Biarpun masih berbaki dua perlawanan, pemain skuad Piala Presiden Kelantan sebenarnya sudah boleh meraikan kejayaan cemerlang mereka setelah muncul juara Kumpulan A Liga Piala Presiden musim ini.

Kejayaan mengalahkan Perak 2-1 di Ipoh minggu lalu membolehkan The Presiden Warriors muncul juara kumpulan setelah penerajui liga sebelum ini, Sabah tewas mengejut 4-0 kepada Johor FC di Pasir Gudang.

Penolong Pengurus Pasukan, Mohd Yusri Ismail berkata, kejayaan muncul juara kumpulan dan seterusnya secara automatik layak ke peringkat suku akhir merupakan satu pencapaian terbaik pasukan setelah gagal menempatkan diri didalam kelompok lapan pasukan terbaik sejak dua musim lalu.

“Kejayaan muncul juara kumpulan merupakan satu pencapaian yang cukup membanggakan bukan sahaja kepada pasukan ini bahkan pihak Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sendiri yang begitu mengambil berat mengenai pasukan ini,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.

“Setelah dua tahun gagal melayakkan diri ke saingan suku akhir, kita bukan sahaja layak (ke suku akhir) malah muncul sebagai juara kumpulan. Saya fikir kejayaan ini merupakan hasil kerja keras semua pihak dan mereka sememangnya berhak meraikan kejayaan ini.

“Justeru, saya mahu perlawanan ditempat sendiri menentang T-Team malam ini berakhir dengan kemenangan. Saya mahu semua pemain beraksi dengan cemerlang dan menghadiahkan kemenangan kepada peminat setia yang sentiasa memberikan sokongan kepada pasukan selama ini,” katanya.

Menurut Mohd Yusri, walaupun pertemuan menentang T-Team malam ini Kelantan hanya sekadar memerlukan keputusan seri, namun beliau percaya barisan pemainnya tidak merelakan berkongsi mata apatah lagi ini merupakan perlawanan terakhir peringkat kumpulan di Kota Bharu.

“Walaupun kita pernah mencatatkan kemenangan tipis 3-2 ke atas T-Team ditempat mereka minggu lalu, namun saya tidak mahu pemain memandang mudah pertemuan ulangan ini. Kita akan tetap akan menurunkan barisan terkuat menghadapi mereka.

“Saya mengharapkan semua peminat setia bola sepak hadir beramai-ramai ke stadium malam ini bagi memberi sokongan kepada pemain muda setelah ‘pasukan abang’ tewas 1-2 kepada T-Team tempohari,” katanya.

No comments:

Post a Comment