Wednesday, May 25, 2011

T-TEAM MERENDAH DIRI

AHMAD YUNUS MOHD ALIFF

KUALA TERENGGANU - Mengakui cabaran besar menanti, pengendali T-Team, Yunus Alif, tetap positif anak buahnya mampu memberi saingan kepada Kelantan dalam perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.

Keyakinan itu berasas memandangkan tiga tonggak utamanya iaitu Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad dan Azizi Matt Rose pernah beraksi dengan juara Piala Malaysia itu musim lalu.

Bagaimanapun, beliau mahu para pemainya bijak mengawal emosi ketika berdepan dengan penyokong fanatik tuan rumah malam ini yang sudah pasti tidak sabar menanti kunjungan pasukannya bertandang ke Kota Bharu.

“Saya berharap para pemain bermain seperti biasa dan tidak mudah tertekan sekalipun beraksi dihadapan ribuan penyokong Kelantan. Mereka perlu bijak mengawal emosi dan memanfaatkan setiap peluang yang terhidang,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Meskipun kesemua pemain masih lagi keletihan berikutan mengharungi jadual perlawanan yang padat, namun kita telah bersiap sedia untuk menghadapi Kelantan pada perlawanan malam ini.

“Kemungkinan kita terpaksa turun tanpa penjaga gol utama, Mohd Syamsuri Mustaffa yang masih mengalami kecederaan lutut kiri. Namun kedudukannya sama ada diturunkan hanya dapat ditentukan oleh pegawai perubatan pasukan esok (hari ini).

Yunus dalam nada rendah diri turut mengakui, T-Team yang turun selaku pasukan bukan pilihan perlu bekerja keras untuk mengumpul mata walaupun mengakui bakal menghadapi ujian getir ketika bertemu dengan Kelantan malam ini.

“Sekarang ini kita perlu berusaha keras untuk mengumpul mata dalam setiap perlawanan bagi mengekalkan kedudukan terbaik. Kita tidak ada banyak pilihan kecuali perlu menang kesemua baki perlawanan bagi menempatkan pasukan kita didalam kelompok lima pasukan terbaik musim ini,” katanya.

Pasukan berstatus kelab, T-Team sedang bergelut dengan prestasi semasa kini menghuni tangga ketujuh liga selepas mengharungi 21 perlawanan dengan mengumpul 28 mata.

Barisan kemungkinan T-Team : Mohd Zairi Hafiezi Idris, Mohd Shazlan Alias, Azizi Matt Rose, Rosdi Talib (KP), Norfazly Alias, Zairo Anuar Zailani, Tengku Hasbullah Raja Hassan, Indra Putra Mahayuddin, Mohd Norfarhan Muhammad, Mohd Saaufi Sa’adi dan Mohd Haris Safwan Md Kamal.

No comments:

Post a Comment