Muhammad Ramzul Zahini (tertiarap) jelas kecewa apabila mensia-siakan dua peluang terbaiknya untuk memastikan Kelantan meraih tiga mata dalam pertemuan menentang Harimau Muda, malam semalam.
KOTA BHARU – “Saya kecewa’. Begitulah luahan Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu setelah melihat anak buahnya dipaksa berkongsi mata setelah terikat seri 2-2 dengan Harimau Muda ‘A’ dalam aksi perlawanan Liga Super di Stadium Shah Alam, malam semalam.
Karathu ketika dihubungi berkata, beliau tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya tatkala melihat barisan pemainnya mensia-siakan peluang terbaik untuk meraih kemenangan seterusnya menjarakkan kedudukan dalam carta liga ketika ini.
“Seri lebih baik daripada kalah, namun dalam perlawanan sebegini kita hanya mendapat satu mata tetapi kehilangan dua mata. Saya sedih dan kecewa kerana kita kehilangan mata dalam perlawanan sepenting ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
“Memang Harimau Muda menunjukkan satu persembahan yang bagus dengan mempamerkan serangan balas pantas dan tempo permainan mereka juga begitu laju. Namun itu tidak bererti kita tidak mampu menyaingi corak permainan mereka. Saya tidak nampak mengapa kita harus mencatatkan keputusan seri dalam perlawanan ini.
“Saya fikir sekiranya dua peluang terbaik yang diperolehi menerusi Muhammad Ramzul Zahini (Adenan) dimanfaatkan sepenuhnya, sudah pasti keputusan perlawanan akan berubah. Namun itu tidak berlaku dan inilah hasilnya (keputusan seri),” katanya.
Menurutnya, kegagalan pemainnya memanfaatkan peluang terhidang dan ditambah dengan aksi tidak konsisten menjadi punca mengapa Kelantan hanya mampu mencuri satu mata dalam perlawanan malam semalam.
“Dalam bola sepak, anda tidak boleh mengharapkan sepuluh peluang datang kepada kita. Kadang-kala kita hanya mempunyai dua peluang dan kita harus memanfaatkan kedua-dua peluang tersebut.
“Itulah masalah kita. Kita tidak boleh bergantung kepada seseorang penyerang sahaja untuk menjaringkan gol. Sukar untuk kita mencapai kemenangan kalau kita masih mengharapkan perkara seperti itu.
“Saya tidak gembira dengan keputusan ini. Keputusan ini menyukarkan kita untuk menjarakkan kedudukan daripada pencabar terdekat. Dengan berbaki lima perlawanan, kita tidak ada pilihan selain perlu menang kesemua perlawanan itu,” katanya.
Dalam aksi pertemuan menentang Harimau Muda ‘A’ malam semalam, Kelantan terselamat daripada menerima kekalahan apabila bangkit menyamakan kedudukan setelah dua kali ketinggalan. Gol penyamaan empat minit sebelum perlawanan berakhir menerusi jaringan cantik Norshahrul Idlan Talaha menyelamatkan maruah pasukan Kelantan daripada diaibkan oleh Harimau Muda ‘A’.
No comments:
Post a Comment