Kapten Kelantan, Muhd Badhri Radzi (tengah) menagih aksi luar biasa daripada rakan sepasukannya dalam pertemuan menentang KL Felda United FC, malam ini
KOTA BHARU – “Minimakan kesilapan, serap tekanan dan manfaatkan setiap peluang terhidang”. Begitulah pesanan Ketua Pasukan Kelantan, Muhd Badhri Radzi kepada rakan sepasukannya menjelang sepak mula pertemuan menentang KL Felda United FC dalam saingan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu malam ini.
Muhd Badhri berkata, biarpun pasukan Felda United FC mempunyai kelebihan daripada segi peraturan gol ditempat lawan namun Kelantan juga turut mempunyai ‘kelebihan’ kerana beraksi dihadapan puluhan ribu penyokong sendiri sekali pun turut sebagai pasukan pelawat.
“Kita tidak perlu memikirkan sangat kelebihan dua gol (berdasarkan peraturan gol ditempat lawan) yang dimiliki mereka. Kita anggap seperti masih 0-0 dan kita akan turun dengan satu matlamat iaitu mahu mencatatkan kemenangan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
“Tekanan tetap ada kepada kita kerana mereka hanya mahu mencatatkan keputusan seri dalam perlawanan malam ini. Kita perlu berjuang habis-habisan dan saya berharap pemain kita jangan terlalu leka terutamanya pada minit-minit akhir perlawanan. Apa yang saya perhatikan, mereka menjaringkan gol menerusi hantaran lintang sebagaimana perlawanan suku akhir pertama tempohari.
“Kita perlu menutup ruang, jangan bagi pemain mereka melakukan hantaran tersebut dan saya berharap benteng pertahanan kita bekerja keras memperbaiki kelemahan tersebut. Dalam perlawanan lalu, kita memang mempunyai banyak peluang namun gagal diterjemahkan dalam bentuk jaringan,” katanya.
Membangkitkan semangat untuk mencipta kemenangan dalam perlawanan malam ini, Muhd Badhri pantas menuntut kudrat 120 peratus daripada rakan sepasukannya seandainya mahu mengulangi pencapaian layak ke perlawanan akhir dua tahun lalu berulang lagi pada musim ini.
“Biarpun berhadapan dengan tekanan sekali pun bermain dihadapan penyokong sendiri, namun kami tidak menghiraukan tekanan tersebut. Misi kita malam esok (ini) mahu menang. Pasukan mereka sebenarnya tidak memiliki apa-apa keistimewaan cuma mempunyai ramai pemain yang berpengalaman.
“Kita menagih sokongan padu daripada penyokong setia Kelantan pada perlawanan malam ini. Tugas menjaringkan gol bukan sahaja terletak dibahu Norshahrul Idlan (Talaha), Muhammad Khalid (Jamlus) dan saya sahaja, tetapi rakan-rakan yang lain juga harus mengambil tanggungjawab yang sama.
“Setiap peluang kita harus manfaatkan sebaik mungkin. Kita sudah bersedia sepenuhnya daripada segi mental dan fizikal dan saya menjanjikan sesuatu yang luar biasa dalam perlawanan ini. Insya Allah kita mampu melakar kemenangan malam ini,” katanya.
Salam, saudara mazram, namo gapo doh pemain blakang badhri radzi tu, mat ise kalu dok silap ?
ReplyDelete