Pemain kelantan md khairul izuan cuba melepasi dua pertahanan ssbp
KOTA BHARU – Kelantan tetap menghormati KL Sime Darby FC apabila kedua-dua berentap dalam perlawanan terakhir pusingan pertama Kumpulan A, Liga Piala Presiden di Stadium Mini Petronas, Bangi petang ini.
Penolong Pengurus Pasukan, Mohd Yusri Ismail berkata, Kelantan tetap tidak memandang mudah pertemuan menentang KL Sime Darby FC dan mahu mengakhiri perlawanan terakhir pusingan pertama ini dengan mengutip tiga mata sekali pun beraksi di gelanggang lawan.
“KL Sime Darby FC merupakan sebuah pasukan yang serba lengkap lagi sempurna. Saya melihat pasukan ini berpeluang menjadi penghalang kepada kebangkitan Kelantan pada musim ini. Tidak salah kalau saya menyifatkan kekuatan pasukan ini sama seperti pendahulu liga ketika ini, Sabah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
“Kita tidak tahu mengenai kekuatan dan kelemahan pasukan itu. Mungkin mereka mempunyai kelebihan kerana saya difahamkan, bekas jurulatih Piala Presiden Kelantan musim lalu, Anizam Daud menjadi penolong jurulatih pasukan itu. Jadi dia (Anizam Daud) sedikit sebanyak sudah masak dengan percaturan bekas pembantunya, Zahasmi Ismail yang melatih Kelantan musim ini.
Tuan md norhafiziee cuba melarikan bola dari dua pertahanan sekolah sukan bandar penawar
“Namun saya tidak mahu memikirkan sangat perkara itu. Apa yang penting, kita perlu fokus kepada persiapan pasukan kita bagi menghadapi mereka petang esok (ini). Kalau kita mahu mengutip tiga mata disini (Bangi), saya mahu para pemain mempamerkan aksi terbaik. Jangan ulangi kesilapan dimana mereka menunjukkan persembahan lembab walaupun membelasah Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP) 4-0 di Kota Bharu minggu lalu,” katanya.
Menurutnya, apa yang menggembirakan pasukan The President Warriors ketika ini ialah semua pemainnya kini bersedia dari segi mental dan fizikal bagi menghadapi perlawanan ini tanpa dibelenggu masalah kecederaan mahupun penggantungan pemain.
“Mereka (pemain) cukup bersedia sepenuhnya. Kita akan mempertaruhkan gandingan Mohd Zamri (Ramli) dan Mohd Norfarhan (Yaakub) dibahagian serangan sekali lagi. Malahan beberapa pemain yang baru didaftarkan seperti Mohd Akid (Ramli) dan Mohd Norhamizi (Harun) juga berada dalam senarai pemain untuk diturunkan.
“Kita akan melakukan rombakan besar-besaran diposisi tengah yang dilihat kurang efektif dalam perlawanan lalu. Kesediaan kita untuk mempertaruhkan muka baru beraksi diposisi tersebut tetap akan. Kita bersedia mengambil risiko tersebut kerana merasakan pasukan kita mempunyai barisan pemain yang mempunyai keupayaan yang seimbang.
“Tiada keraguan tentang barisan pemain kita musim ini. Kita sudah mencuba semua pemain dan terbukti mereka tidak menghampakan pihak pengurusan dengan menampilkan aksi terbaik,” katanya.
Kelantan kini menduduki tangga kedua kumpulan A dengan mengutip 17 mata dibelakang Sabah (21 mata) dan bermain kekurangan satu perlawanan berbanding Sabah. Sementara KL Sime Darby FC pula ditangga ketiga dengan mengumpul 15 mata setakat ini.
No comments:
Post a Comment