Thursday, March 31, 2011

KELANTAN BURU TIGA MATA

Pemain pertahanan, Tuan Mohd Norhafizie Tuan Mahmood (kanan) menjaringkan gol untuk Kelantan pada pertemuan pertama di Bangi, Isnin lalu. 

KOTA BHARU - “Misi tiga mata”. Setelah hajat untuk mengutip tiga mata penuh tidak kesampaian, kali ini skuad Piala Presiden Kelantan turun dengan misi mencatatkan kemenangan apabila melayan kunjungan KL Sime Darby FC dalam aksi perlawanan pertama pusingan kedua Liga Piala Presiden di Stadium Mini Penjara, Pengkalan Chepa petang ini.

Dalam perlawanan pusingan pertama di Bangi pada Isnin lalu, impian Kelantan untuk membawa pulang tiga mata lebur setelah sekadar seri 1-1. Jaringan pendahuluan pemain pertahanan Kelantan, Tuan Norhafizie Tuan Mahmood dipadamkan menerusi gol sendiri pemain pertahanan, Mohd Syafiq Haikal pada minit-minit akhir perlawanan itu.

Penolong Pengurus Pasukan, Mohd Yusri Ismail berkata, kelekaan pemainnya pada saat-saat akhir ketika pertemuan menentang KL Sime Darby FC pada perlawanan itu menyaksikan tiga mata yang hampir dibawa pulang ke Kota Bharu terlepas begitu sahaja. 

“Kita berharap episod kekecewaan yang sama tidak berulang lagi apabila kita menghadapi lawan yang sama petang esok (ini). Dalam apa jua keadaan sekalipun, saya mahu pemain Kelantan memulakan aksi perlawanan pertama pusingan kedua ini dengan mengutip tiga mata penuh,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

“Secara keseluruhannya kita berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan oleh para pemain dalam perlawanan tersebut. Kita menguasai sebahagian babak perlawanan itu, namun nasib tidak menyebelahi kita apabila dipaksa berkongsi mata pada saat-saat akhir.

“Jurulatih, Zahasmi Ismail akan membuat sedikit perubahan taktikal untuk perlawanan petang esok (ini). Melihat formasi 4-5-1 pasukan lawan sebelum ini, memang kita menghadapi kesukaran menembusi jentera tengah mereka, namun saya percaya dia sudah melakukan ‘kerja rumah’ untuk mengatasi masalah tersebut.

Menurutnya, sekalipun Kelantan bakal turun tanpa pemain sayap lincah, Mohd Izuan Salahuddin yang digantung satu perlawanan namun itu tidak menggusarkan pihak pengurusan pasukan kerana ramai pemain simpanan yang lain bersedia untuk diturunkan dalam perlawanan ini. 
Mohd Yusri Ismail 
“Siapa yang menggantikan posisi Mohd Izuan (Salahuddin) masih belum difikirkan lagi. Tidak ada masalah siapa yang akan menggantikan tempat dia. Kita mempunyai ramai pemain lain yang mempunyai keupayaan yang setaraf dengan pemain yang beraksi dalam kesebelasan utama.

“Malah pujian harus diberikan kepada dua pemain baru iaitu Mohd Akid (Ramli) dan Mohd Norhamizi (Harun) yang mempamerkan persembahan yang baik dalam perlawanan menentang Sime Darby FC di Bangi tempohari.

“Saya yakin kita mampu mencatatkan kemenangan dalam perlawanan ini. Sekalipun kita bakal menerima tentangan sengit daripada pasukan lawan, namun saya percaya pemain kita sudah cukup bersedia dari segi mental dan fizikal dalam perlawanan ini. Untuk itu, saya menagih sokongan peminat tempatan walaupun venue perlawanan terpaksa dipinda dengan beraksi di Stadium Mini Penjara, Pengkalan Chepa petang esok (ini),” katanya.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Agung Kafa, Arif Hasssan ketika dihubungi mengesahkan venue perlawanan membabitkan pertemuan Kelantan menentang KL Sime Darby FC itu telah dipinda ke Stadium Mini Penjara, Pengkalan Chepa memandangkan Stadium Sultan Muhammad IV akan digunakan bagi perlawanan Liga Super, Kelantan menentang Harimau Muda ‘A’ pada malam keesokannya.

No comments:

Post a Comment