Sunday, March 20, 2011

ARMY CARI 200 PEMAIN BERBAKAT

Sathianathan  dan Abdullah Mohamad menunjukkan kurikulum yang akan digunapakai dalam program pencarian bakat baru bola sepak di negeri ini. 

KOTA BHARU – Segalanya bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi. Akademi Al-Hambra Red Warriors (ARMY) yang bekerjasama dengan penaja utama pasukan The Red Warriors musim ini, iaitu happy akan memilih seramai 200 peserta dalam program pencarian bakat baru di negeri ini bermula bulan depan.

Sebagai permulaan, dua kategori umur iaitu kategori bawah 16 tahun dan bawah 14 tahun akan diwujudkan dengan kos perbelanjaan sekitar RM230,000 pada tahun ini. Sementara bagi kategori pemain bawah 12 tahun, pihak ARMY  akan membuka sesi pemilihannya pada tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutif ARMY, B Sathianathan berkata, penubuhan akademik ini adalah bagi memenuhi visi Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa yang mahukan satu program pencarian bakat muda dilakukan secara menyeluruh di negeri ini.

“Sebagai permulaan, sebanyak lima jajahan dinegeri ini dikenal pasti menjadi pusat latihan ARMY iaitu Kota Bharu, Tumpat, Bachok, Tanah Merah dan Kuala Krai pada tahun ini. Untuk jajahan lain, kita akan perluaskan penubuhannya pada tahun depan,” katanya pada sidang akhbar di Kota Bharu, semalam.

“Tarikh pemilihan pemain ialah di Kota Bharu pada 9 April, Tumpat (16 April), Bachok (23 April), Tanah Merah (30 April) dan Kuala Krai (7 Mei). Pemilihan pemain adalah berdasarkan dua kategori umur iaitu kategori bawah 16 tahun (lahir pada tahun 1995 dan 1996) dan bawah 14 tahun (lahir pada tahun 1997 dan ke atas).

“Sebagai contohnya sekiranya pemilihan pemain diadakan di Kota Bharu, kita tidak menggalakkan pemain yang tinggal di Jeli datang ke Kota Bharu kerana mereka mungkin mengalami kepayahan untuk datang ke sini. Apa yang kita rancangkan ialah hanya untuk pemain yang tinggal di jajahan tersebut supaya mereka boleh datang ke padang latihan berhampiran tanpa masalah,” katanya. 

Sathianathan berkata, aspek 3S iaitu Skill (Kemahiran), Speed (Kelajuan) dan Size (Saiz Badan) akan menjadi keutamaan kepada barisan panel kejurulatihan ARMY dalam memilih pemain berbakat bagi menyertai akademi ini.

“Kita hanya memilih pemain yang memenuhi kriteria 3S seperti yang saya sebutkan tadi. Pemain-pemain yang dipilih akan menjalani latihan di pusat latihan masing-masing bermula 13 Mei. Saya bersama Pengarah Kejurulatihan Kafa, Abdullah Mohamad dan jurulatih-jurulatih tempatan akan turun padang dalam sesi pemilihan tersebut.

“Kita akan melantik seramai tiga jurulatih di setiap pusat latihan masing-masing bagi mereka membimbing pemain tersebut. Mereka akan menggunakan manual (kurikulum) akademiyang disediakan oleh saya bagi tujuan ini. Dalam program ini, para pemain akan diajar dengan cara sistematik bersesuaian dengan permainan bola sepak moden.

Menurut Sathianathan, para peserta juga akan diajar mengenai cara pengambilan makanan mengikuti kesesuaian bergelar ahli sukan, latihan fizikal selain pembentukan tingkah laku sebagai seorang pemain bola sepak profesional.

“Selain latihan, kita akan mengadakan satu pertandingan liga bermula 24 Jun sehingga 10 Oktober depan. Ini melibatkan 60 perlawanan liga yang diadakan secara timbal balik. Kita mahu mereka didedahkan dengan perlawanan kompetitif. Pada 4 dan 5 November, kita akan mengadakan satu karnival di Kota Bharu bagi penentuan juara kedua-dua kategori itu.

“Sebagai rakan kerjasama Kafa, pihak happy mementingkan pembangunan bola sepak di negeri ini. Pendaftaran pemain hendaklah dilakukan seminggu sebelum tarikh tutup sesi pemilihan. Kita akan menyediakan borang penyertaan dihampir 400 kedai rakan niaga happy diseluruh di negeri Kelantan bagi tujuan ini,” katanya.

1 comment:

  1. Boleh adakan di pasir puteh atau selising pada cuti pertengahan tahun 2013

    ReplyDelete