Sunday, March 20, 2011

MISI BURU KEMENANGAN - KARATHU

Karathu menyampaikan amanatnya kepada para pemain selepas sesi latihan terakhir skuad Kelantan, petang semalam. 

KOTA BHARU – “Misi wajib menang”. Begitulah pesanan Ketua Jurulatih Kelantan, Datuk M Karathu kepada pemainnya apabila Kelantan turun berhadapan dengan KL Felda United FC dalam saingan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Muhammed IV, Kota Bharu, malam ini.

Andai KL Felda United FC berhajat bermain secara bertahan dan mahu mencatatkan keputusan seri dalam perhitungan hidup mati kedua-dua pasukan malam ini, lupakan sahaja hasrat tersebut kerana pasukan The Red Warriors tetap turun dengan misi mencipta kemenangan sekali pun turun sebagai ‘pasukan pelawat’.

KL Felda United FC dan Kelantan sekali lagi akan berentap bagi membuat perhitungan untuk merebut salah satu slot ke peringkat separuh akhir setelah kedua-dua pasukan terikat seri 2-2 dalam perlawanan suku akhir pertama Selasa lalu.

Mengakui peluang kedua-dua pasukan masih terbuka,  Karathu berkata, pasukannya tidak mempunyai pilihan selain perlu mencatatkan kemenangan ke atas kelab yang berpangkalan di ibu negara itu bagi menghidupkan sisa-sisa perjuangan mereka dalam kempen Piala FA musim ini.

“Kita tidak boleh seri dengan KL Felda United FC pada perlawanan malam ini. Apa yang tertanam diminda saya sekarang ialah kita perlu menang. Dan ingatan tersebut sudah pun disampaikan kepada semua pemain bahawa kita tidak rela tersingkir lagi sebagaimana musim lalu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Saya tekankan kepada para pemain, kita tidak boleh terikut-ikut dengan rentak pasukan lawan. Mereka akan sentiasa cuba untuk melengah-lengahkan perlawanan. Saya sudah memahami taktikal dan corak permainan mereka. Kita sudah bersedia menghadapi situasi tersebut dan kita akan bermain dengan cara kita.

“Kita sudah sampai ke tahap ini (suku akhir) dan saya berharap pemain kita tidak menghampakan impian penyokong setia Kelantan. Ada dua tugasan yang perlu dilakukan, pertama mereka mesti memperkukuhkan corak permainan bertahan sekiranya diserang balas dan kedua berusaha mendapatkan gol awal sebaik mungkin,” katanya.

Karathu berkata, dalam perlawanan berprofil tinggi seperti ini, kadang-kala gol awal sesebuah pasukan mampu mempengaruhi keputusan perlawanan dan beliau berharap pemain Kelantan memanfaatkan setiap peluang terhidang sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung pada malam ini.  

“Gol awal itu cukup penting kerana ianya mampu memberikan tekanan kepada pasukan lawan. Itu yang saya mahu dan saya percaya kehadiran pemain ke dua belas iaitu puluhan ribuan penyokong setia Kelantan juga sudah pasti memberikan tekanan berganda kepada mereka.

“Saya akui, tekanan memang sentiasa ada tetapi pada masa yang sama saya percaya penyokong kita tetap setia berdiri dibelakang kita. Pemain kita sudah bersedia sepenuhnya sekiranya diheret beraksi dalam masa tambahan atau penentuan sepakan penalti sekali pun.

“Saya percaya sekiranya pemain kita beraksi dengan tenang, mampu menyerap tekanan dan  mengikut arahan yang diberikan, kita mampu mengatasi Felda United FC pada malam ini. Saya berharap pemain Kelantan akan turun bermain mati-matian bagi menghidupkan peluang kita melayakkan diri ke peringkat separuh akhir,” katanya.

Barisan kemungkinan Kelantan :

Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaluddin, Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid, Mohd Farisham Ismail, Zairul Fitree Ishak, Mohd Nurul Azwan Roya, Muhd Badhri Radzi (KP), Mohd Shakir Shaari, Soley Kanasian Abdullah, S Chanturu dan Norshahrul Idlan Talaha.

No comments:

Post a Comment