Tuesday, July 27, 2010

KELATE.NET TIDAK PUAS HATI


 MARHASHIM MAT

KOTA BHARU – Perubahan jadual perlawanan Liga Super di antara Perlis menentang Terengganu  yang sepatutnya dilangsungkan di  Stadium Utama Negeri, Kangar pada Rabu ini dan dipinda ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu pada malam ini sekali lagi mencetuskan rasa tidak puas hati mengenai keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JPKT) FAM.

Perlawanan Liga Super di antara Perlis menentang Terengganu dipinda bermain pada malam ini memandangkan Stadium Utama Negeri, Kangar digunakan untuk acara lain.

Sehubungan itu, Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net) melihat perubahan jadual tersebut yang diputuskan oleh JPKT FAM sebagai tidak adil dan seharusnya memberi keuntungan kepada sebelah pihak sahaja.

Presiden Kelate.Net, Marhasyim Mat berkata, sepatutnya perlawanan itu diadakan di gelanggang berkecuali dan tidak diadakan di Kuala Terengganu kerana sudah pasti ianya memberi kelebihan kepada Terengganu sebagai pasukan tuan rumah.

“Perlawanan sepatutnya ini dilangsung di gelanggang berkecuali seperti di Cheras atau mana-mana gelanggang yang lain memandangkan gelanggang di Ipoh, Alor Setar dan Batu Kawan digunakan oleh pasukan negeri masing-masing,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Pasukan Terengganu dilihat mempunyai kelebihan kerana tidak perlu berkunjung ke Kangar, bahkan Terengganu juga mempunyai rehat yang panjang sebagai persiapan menghadapi pendahulu liga, Selangor di Shah Alam pada Sabtu ini.

“Sudah pasti mereka berpeluang menilai perlawanan T-Team menentang Selangor pada keesokan malamnya (hari Rabu) kerana mereka tidak bermain. Malahan mereka berpeluang mengkaji corak permainan Selangor, lawan yang akan mereka hadapi Sabtu ini.

Menurut Marhasyim, pihaknya merasakan perubahan jadual itu sudah pasti memberi peluang terbuka kepada pasukan Terengganu dalam perebutan kedudukan tempat kedua Liga Super.

“Sepatutnya perlawanan Perlis menentang Terengganu harus dilangsungkan serentak dengan perlawanan-perlawanan lain tetapi di gelanggang berkecuali memandangkan aksi perebutan tempat kedua juga kini terbuka untuk pasukan Terengganu.

“Perubahan jadual ini tidak adil kepada pasukan lain yang hanya mempunyai rehat selama dua hari sahaja sebelum menghadapi perlawanan berikutnya pada Sabtu ini.

“JPKT FAM harus faham, memandangkan saingan liga semakin hampir ke kemuncaknya, perebutan tempat pertama hingga ketiga hanya melibatkan tiga pasukan iaitu Selangor, Kelantan dan Terengganu. Justeru, mereka seharusnya membuat pindaan yang terbaik bagi tidak mencetuskan rasa tidak puas hati pihak lain,” katanya.

“Pihak JPKT FAM seharusnya mengkaji terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pindaan kerana kita tidak mahu timbul implikasi yang boleh menguntungkan pihak-pihak tertentu sahaja,” katanya.

No comments:

Post a Comment