Wednesday, July 28, 2010

TRW ikon kejayaan persatuan sukan - Shabery


Annuar Musa (dua, kiri), Ahmad Shabery Cheek (tiga dari kiri), Abdul Fattah Mahmood (dua,kanan) dan Ramzi Abdul Rahman membaling bola sebagai simbolik kepada perasmian Karnival The Red Warriors 2010.

KOTA BHARU – Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) berhasrat menjadikan Karnival The Red Warriors 2010 (TRW) sebagai acara tahunan setelah melihat kejayaan penganjuran karnival tersebut.

Majlis perasmian Karnival The Red Warriors 2010 telah disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Datuk Ahmad Shabery Cheek di dataran Stadium Sultan Muhammed Ke-IV, malam semalam.

Hadir sama ialah Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa, Exco Pembangunan Modal Insan, Belia, Sukan dan NGO Kelantan, Abdul Fattah Mahmood, Pengerusi Tahun Bola Sepak Kelantan, Datuk Ramzi Abdul Rahman,  Timbalan Presiden Kafa, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, Naib Presiden Kafa, Datuk Affandi Hamzah, Rosmadi Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif Kafa, Tuan Mohd Hashim Tuan Yaakob serta pemain Liga Super Kelantan.

Datuk Ahmad Shabery Cheek dalam ucapan perasmiannya berkata, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak Kafa diatas penganjuran karnival sempena dengan sambutan Tahun Bola Sepak Kelantan pada tahun ini.

“Tan Sri Annuar Musa bukan setakat memimpin sebuah persatuan bola sepak, tetapi penggerak kepada satu bentuk gelombang baru dalam bidang sukan di negara ini.

“The Red Warrior telah berjaya mengubah cara hidup dikalangan penyokong Kelantan, berdisiplin, menghormati dan saya fikir ini adalah cetusan gelombang baru yang dimulakan dari Kota Bharu ini.

Ahmad Shabery berkata, kewujudan kafe TRW, merchandise Kafa, keropok dan radio TRW membuktikan pihak Kafa bukan setakat serius memimpin bola sepak di Kelantan bahkan menjadikan bola sepak sebagai satu industri yang boleh membawa keuntungan.

“Tercetusnya idea sebegini memberi satu konsep model baru dalam pembangunan bola sepak di negara ini.

“Sesebuah pasukan itu dilihat berasaskan kepada negeri dan kekuatannya bergantung kepada berapa banyak kerajaan negeri itu memberi peruntukkan kepada pasukan bola sepaknya. Kejayaan Kafa sebagai persatuan bola sepak berdikari tanpa menerima bantuan daripada pihak kerajaan dibuktikan dengan menjadi antara pasukan yang terkuat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“TRW telah berjaya membina kelab penyokongnya dengan memakai baju yang sama, terkenal dengan kafenya dan  radionya, dan kini kemana-mana sahaja, orang sudah mengetahui nama TRW ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment