Wednesday, July 28, 2010

KAFA kini mendepani zaman - Annuar


Ahmad Shabery Cheek menyampaikan sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records kepada Annuar Musa, sambil disaksikan oleh wakil MBR, Leona Paul.

KOTA BHARU – Disebalik kejayaan penganjuran Karnival The Red Warriors yang berakhir semalam, tercatat satu sejarah tersendiri apabila Malaysia Book of Records (MBR) telah mengiktirafkan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) sebagai persatuan sukan pertama di negara ini yang berjaya mengeluarkan merchandise sendiri dan juga mewujudkan radio internet, iaitu TRW.fm.

Wakil MBR, Leona Paul hadir menyampaikan sijil pengiktirafan pihak MBR kepada Tan Sri Annuar Musa pada majlis perasmian Karnival The Red Warriors 2010 malam semalam.

Terdahulu Presiden Kafa, Tan Sri Annuar Musa dalam ucapannya berkata, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak diatas penganjuran karnival bersempena dengan sambutan Tahun Bola Sepak Kelantan pada tahun ini.

“Sukan harus dilihat sebagai satu industri dengan perspektif yang lebih besar, dan Kafa sebagai sebuah persatuan yang kerdil telah melangkauinya dengan melakukan pelbagai perkara yang tidak pernah terfikir dilakukan oleh mana-mana persatuan sukan selama ini.

“Kafa terpanggil untuk melakukan sesuatu dengan menyahut seruan pihak kerajaan dan kita telah mendepani zaman melakukan pelbagai perkara berkaitan industri bola sepak khusus di negeri Kelantan.

“Kewujudan Soccer Station, kafe TRW, jenama Warriors sebagai merchandise Kafa,  radio internet dan keropok Warriors, dan kesemua ini adalah limpahan daripada kejayaan pasukan TRW musim ini.

Menurut Annuar, pihak Kafa berterima kasih kepada pihak kerajaan negeri yang sentiasa memberi kerjasama yang baik kepada pihaknya. 

“Kerjasama yang diberikan oleh kerajaan negeri, perbadanan stadium, malah semua pihak amatlah dialu-alukan. Saya amat terharu dengan sokongan yang diberikan kepada pasukan bola sepak Kelantan,” katanya.

Sementara itu Annuar berkata, pada masa akan datang, pihak Kafa bercadang membina pusat latihan dan stadium sebuah bola sepak sendiri.

“Adalah penting kini mewujudkan stadium bola sepak sendiri bagi mewujudkan pasukan yang lebih berwibawa lagi pada masa akan datang.

“Kelantan hanya mempunyai satu-satunya stadium di Kota Bharu, dan Kafa mempunyai perancangan awal untuk memulakan usaha membina stadium walau dalam keadaan keadaan sederhana sekali pun dan kita berharap pihak kerajaan pusat membantu kita merealisasikan hasrat ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment