Monday, February 6, 2012

BALESTIER KHALSA UJI RED WARRIORS

KOTA BHARU – Tewas 0-5 kepada Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan Rabu lalu, The Red Warriors sekali lagi berdepan dengan ujian penting sebelum menghadapi Sabah dalam perlawanan Liga Super di Kota Kinabalu pada 8 Februari ini.
 
Malam ini, Kelantan akan melayan kunjungan kelab Balestier Khalsa FC dari Singapura pada perlawanan persahabatan antarabangsa yang akan berlangsung di Stadium Sultan Muhammad IV malam ini.
 
Ini merupakan perlawanan persahabatan kedua bagi kedua-dua pasukan dalam tempoh tiga bulan. Dalam perlawanan pertama pada 23 November tahun lalu, The Red Warriors menang 3-0 menerusi jaringan Emmanuel Okine, Mohd Nurul Azwan Roya dan S Chanturu.
 
Bezanya kali ini, kelab yang beraksi dalam Liga-S di Negara jiran itu kini dibimbing oleh Darren Stewart, bekas pemain pertahanan import yang pernah menyarung jersi pasukan Johor dalam Liga Malaysia pada tahun 1994 hingga 1995 dan semusim pada 1998.
 
Stewart, 46, sudah tentu tidak asing lagi dengan corak permainan pasukan di Negara kita dan kelab yang berpengkalan di Toa Payoh itu hampir pasti mempertaruhkan kelibat pemain import musim lalu iaitu Paul Cunningham dari New Zealand, Goran Subara (Australia) serta Park Kang Jin dan Chang Jo Yoon (kedua-duanya Korea Selatan) dalam perlawanan ini.
 
Sementara itu, perlawanan persahabatan ini juga merupakan kesempatan terbaik kepada penyokong setia The Red Warriors untuk menilai kehebatan bekas pemain pertahanan kebangsaan Nigeria, Obinna Nwaneri yang baru menandatangani kontrak selama setahun beraksi bersama Kelantan.
 
Tidak terkecuali, peminat juga pasti tertunggu-tunggu untuk menyaksikan kehebatan pemain import terbaru dari Ghana, Samad Awudu Okocha yang difahamkan sudah pun menandatangani kontrak bersama Kelantan turut mempunyai sentuhan pembunuh di depan gol sebagaimana disaksikan dalam rakaman video.
 
Ketika kelibat Mohammed Ghaddar dan Denny Antwi hampir pasti terpadam dalam baki 21 perlawanan Liga Super selepas ini, apakah tindakan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) menandatangani kontrak kedua-dua pemain import terbaru itu berbaloi hanya berdasarkan rakaman video dan pengalaman lampau mereka.
 
Yang pasti, penyokong setia The Red Warriors tidak mahu tertipu lagi dengan ‘kehebatan’ awang import indah khabar daripada rupa seperti Mohammed Ghaddar dan Denny Antwi disamping Emmanuel Okine dan Zacharia Charara yang sudah pun mengucapkan selamat tinggal dengan ‘berhijrah’ ke pasukan tercorot liga, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment