Sunday, February 12, 2012

KELANTAN MAHU LANGSAI HUTANG

 Imbas kembali aksi Ketua Pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi (dua,kanan) dikepung tiga pemain Terengganu dalam aksi perlawanan akhir Piala FA pertengahan tahun lalu.

KOTA BHARU – “Ada hutang lama yang perlu kami langsaikan” Demikian komen ringkas Pengurus Pasukan Kelantan, Azman Ibrahim yang dilihat melancarkan perang psikologi dengan membakar semangat barisan pemainnya menjelang pertemuan negeri berjiran, Terengganu di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.

Sambil mengakui keperitan tewas 1-2 dalam perlawanan akhir Piala FA dan tunduk 3-5 menerusi agregat dalam saingan suku akhir Piala Malaysia musim lalu tidak pernah terpadam dalam fikiran pemainnya, Azman mahu kekecewaan tersebut ditebus dengan noktah kemenangan dalam pertemuan dua musuh tradisi bola sepak tempatan malam ini.

“Selaku penyandang juara kita tidak boleh kalah di tempat sendiri apatah lagi kepada sebuah pasukan seperti Terengganu. Semua pemain harus mengingati kembali bagaimana kita ditunjukkan jalan keluar oleh Terengganu dalam dua pentas kejohanan berbeza pada musim lalu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

“Jadi malam ini saya mahu barisan pemain yang diturunkan melangsaikan hutang lama tersebut dengan mengalahkan Terengganu di hadapan penyokong setia kita sendiri. Memang misi kita malam ini ialah mahu menewaskan Terengganu dan merampas kembali gelaran peneraju liga daripada Perak,” katanya.

Menurut Azman, walaupun mengakui barisan pemainnya sedikit kepenatan setelah mengharungi jadual perlawanan yang padat bertemu Sabah tiga hari lalu, namun skuad kendalian Peter Butler itu tidak mempunyai pilihan melainkan mempertaruhkan barisan terkuat bagi menghadapi Sang Penyu malam ini.

 “Mohd Shakir (Shaari) dan Mohammed Ghaddar mengalami sedikit kecederaan namun saya percaya kedua-dua mereka sempat pulih dan dijangka diturunkan pada malam ini. Paling menggembirakan apabila kita tidak mempunyai masalah untuk menyenaraikan barisan terkuat setelah semua pemain bebas daripada masalah penggantungan perlawanan,” katanya. 

Sementara itu, ketika mengulas mengenai keupayaan pasukan Terengganu yang dipimpin oleh pengendali baru, Mohd Zan Mat Aris pada musim ini, Azman menyifatkan pasukan tersebut jauh lebih kuat berbanding musim lalu.

“Saya boleh katakan pasukan Terengganu memang yang cukup sempurna dalam semua posisi mereka pada musim ini. Mereka ada Mohamad Muslim (Ahmad), Abdul Shukor (Jusoh) di benteng pertahanan, Ismail Faruqi (Asha’ri), Mohamad Ashari (Samsuddin) di posisi tengah dan Abdul Manaf (Mamat) yang menjana jentera serangan.

“Kita kena ingat mereka juga ada pemain dari Liberia, Francis Forkey Doe yang kini tampil selaku pemain import paling konsisten dengan menjaringkan lima gol dalam empat perlawanan yang dia beraksi setakat ini. Jadi saya mahu pemain pertahanan kita merantai secukup-cukupnya pergerakan pemain ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment