Saturday, January 28, 2012

KELANTAN HORMAT KUALA LUMPUR


KOTA BHARU – Di atas kertas, kelebihan memihak kepada Kelantan namun penyandang juara liga musim lalu itu tidak mahu memandang mudah pertemuan dengan Kuala Lumpur dalam aksi kelima Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.

Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim, berkata meskipun Kelantan dilihat mempunyai kelebihan kerana beraksi di gelanggang sendiri namun beliau tetap memberikan peringatan kepada barisan pemainnya supaya tidak mengambil sikap terlalu yakin ketika turun menentang skuad warga kota itu.

“Saya harap pemain kita tidak mengulangi kesilapan yang sama ketika menentang PKNS FC pada 14 Januari lalu. Memang pasukan Kuala Lumpur tidak pernah menang dan berada di tangga tercorot namun itu bukan alasan untuk kita mengambil mudah pertemuan ini,” katanya ketika

“Kita perlu ingat setiap pasukan yang bertandang ke Kota Bharu pasti bermain dengan semangat luar biasa untuk menyekat kita daripada mengutip mata penuh. Malah mereka mungkin menerapkan corak permainan bertahan untuk sekurang-kurangnya mencatatkan keputusan seri.

“Jadi pemain kita harus bersedia menghadapi situasi tersebut. Lebih penting lagi, kita mahu mencatatkan kemenangan ke atas skuad kendalian Razip Ismail itu dengan jaringan gol yang besar,” katanya.

Sementara itu bagi pengendali pasukan, Peter Butler cukup optimis The Red Warriors mampu mengekalkan kedudukan selaku peneraju liga berdasarkan prestasi semasa pasukannya yang kian memuncak ketika ini.

“Saya tahu Kuala Lumpur datang ke sini dengan misi sukar untuk mengalahkan kita. Tetapi saya sentiasa berpandangan positif kita mampu mengatasi mereka pada perlawanan malam ini.

“Memang saya pernah menonton aksi pasukan mereka tidak lama dulu. Saya tahu mereka pasti akan bekerja keras dan berusaha bersungguh-sungguh untuk menyaingi kita dan saya tidak mahu barisan pemain terlalu riak berhadapan dengan pemain muda Kuala Lumpur nanti.

“Tempoh rehat selama seminggu ini memberi ruang kepada beberapa pemain yang mengalami kecederaan untuk kembali pulih. Meskipun masih gagal menggunakan khidmat Azizi (Matt Rose) tetapi saya gembira dengan prestasi Denny Antwi yang berjaya menjaringkan gol ketika pertemuan dengan Kedah minggu lalu,” katanya.

Ketika ini, Kelantan terus mengekalkan gelaran pendahulu liga setelah mengutip 10 mata menerusi tiga kemenangan dan satu seri dan hanya dibezakan satu mata oleh pesaing terdekatnya, Terengganu dan Perak.

1 comment:

  1. Hello would you mind stating which blog platform you're using? I'm going to start my
    own blog soon but I'm having a hard time making a decision between BlogEngine/Wordpress/B2evolution and Drupal. The reason I ask is because your layout seems different then most blogs and I'm looking for something unique.

    P.S My apologies for being off-topic but I had to ask!


    Here is my site - cellulite treatment

    ReplyDelete