Thursday, January 5, 2012

TERIMA KASIH KERAJAAN NEGERI : CHE MAT

CHE MAT
 
KOTA BHARU – “Terima kasih Kerajaan Negeri Kelantan” Hanya itulah kata-kata yang mampu diluahkan oleh Che Mat Hussin, bapa kepada penjaga gol terkenal Kelantan, Khairul Fahmi di atas penganugerahan sebuah rumah oleh Kerajaan Negeri kepada anak beliau, semalam.
 
Che Mat, 59, yang bekerja sebagai pemandu van kilang tidak menyangka akhirnya dapat merasai nikmat menduduki rumah baru setelah hampir 20 tahun tinggal menyewa di beberapa rumah sekitar Kota Bharu.
 
“Saya bersyukur kepada ALLAH kerana pihak Kerajaan Negeri Kelantan sudi menghadiahkan sebuah rumah kepada anak saya di atas kecemerlangan beliau di dalam sukan bola sepak.
 
“Khairul Fahmi menyerahkan rumah ini kepada saya dan Insya ALLAH dalam masa terdekat kami sekeluarga akan berpindah ke rumah baru ini.
 
“Ini merupakan rezeki yang ditetapkan oleh ALLAH dan saya sekeluarga sendiri tidak menyangka dapat menerima hadiah semahal ini. Sudah hampir 20 tahun kami sekeluarga tinggal menyewa beberapa rumah dan hari ini kami dapat merasai menduduki rumah sendiri,” katanya.
 
Hadiah rumah bernilai RM200,000 itu disumbangkan oleh Kerajaan Negeri kepada Khairul Fahmi atau lebih dikenali Apex bagi menghargai kecemerlangannya membantu skuad bola sepak kebangsaan menjulang kejuaraan pertama Piala AFF Suzuki penghujung tahun 2010.
 
 BIDAH
 
Sementara itu isteri beliau, Bidah Ibrahim, 55, juga tidak dapat menyembunyikan perasaan gembiranya di sebalik penganugerahan ini sambil menyifatkan ia merupakan rezeki mereka sekeluarga sempena tahun baru ini.
 
“Sejak Khairul Fahmi masih kecil lagi kami sudah duduk menyewa rumah. Dah lama sangat-sangat kami duduk menyewa namun hari ini sudah tertulis rezeki bagi kami apabila dapat melangkah ke rumah baru ini.
 
Sementara itu ketika ditanya mengenai jodoh Khairul Fahmi, Bidah yang merupakan surirumah sepenuh masa menyerahkan sepenuhnya soal memilih pasangan teman hidup itu kepada anak beliau sendiri.
 
“Siapa pilihan (calon isteri) dia, makcik terima sahaja kerana dia yang akan melayari kehidupan berumah tangga selepas ini. Tapi kalau boleh biarlah dalam kalangan orang sini (Kelantan) sahaja.
 
“Mungkin (perkahwinan) bukan dalam masa terdekat. Khairul Fahmi masih muda dan biarlah dia bekerja terlebih dahulu bagi membolehkan mengukuhkan kewangannya dan menjadikan kehidupan dia lebih stabil nanti,” katanya.

2 comments:

  1. Che Mat keno pese kor anok tuh.... kurangkan kontroversi tingkatkan prestasi

    ReplyDelete
  2. rezeki dia boh...lagipun time tengah laku.. KFCM sendiri la kena beringat, langit tidak selalu ceroh

    ReplyDelete