Thursday, January 5, 2012

APEX JANJI FOKUS KARIER

 Khairul Fahmi (tengah) bergambar bersama kedua-dua ibu-bapanya dalam majlis tersebut
 
KOTA BHARU – Tahun yang penuh pelbagai kontroversi sudah pun ditinggalkan dan kehadiran tahun 2012 menjanjikan sesuatu kelainan bagi penjaga gol utama Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat dalam memperkatakan mengenai perjalanan kariernya.
 
Penjaga gol yang bakal menginjak usia 23 tahun pada Sabtu ini berjanji akan menampilkan aksi kelas tersendiri sambil meletakkan kepentingan kerjaya mengatasi segalanya dalam karier beliau ketika ini.
 
“Fokus saya ialah pada kerjaya dan mempertahankan kejuaraan Piala Sultan Ahmad Shah pada pertemuan dengan Negeri Sembilan dalam perlawanan Sumbangsih Sabtu ini merupakan matlamat utama saya sebagai hadiah hari jadi saya yang ke-23 yang jatuh pada hari tersebut.
 
“Semua pemain termasuk saya mengimpikan untuk mempertahankan kejuaraan tambahan pula kita baru sekali menang piala tersebut. Jadi saya dan rakan-rakan sudah bersedia untuk membawa piala tersebut sekali lagi ke Kota Bharu.
 
“Jadi saya tidak memikirkan perkara lain selain kerjaya saya sendiri. Mengenai soal jodoh, kalau ada rezeki (jodoh) adalah tapi itu semua ketentuan ALLAH. Mungkin tahun ini, mungkin tiga tahun lagi, jadi ini semua ketentuan-Nya.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah oleh Kerajaan Negeri Kelantan yang disampaikan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Taman Kurnia Jaya, Pengkalan Chepa, di sini semalam.
 
Menurutnya, selain bertemu Negeri Sembilan, pertemuan pertama Liga Malaysia iaitu menentang pasukan Lions XII di Stadium Jalan Besar, Singapura pada 10 Januari ini juga cukup penting bagi pasukan Kelantan.
 
“Mereka pasukan baru dalam liga kita jadi kita tidak tahu setakat mana kekuatan pasukan tersebut. Kita perlu bersedia daripada segi fizikal dan mental kerana akan beraksi di atas padang tiruan.
 
“Untuk itu kita akan ke Kuala Lumpur hari ini (semalam) bagi menjalani latihan di atas padang ‘artificial grass’ di Bukit Jalil sebagai persiapan bertemu Lions XII. Penting bagi kita mencatatkan kemenangan pertama dalam perlawanan ini sebagai motivasi kepada semua pemain pasukan Kelantan.
 
Mengulas mengenai undian tertinggi yang diterima beliau dalam kategori Penjaga Gol Asia 2011 melalui laman web bola sepak terkenal, Goal.com semalam, Apex menyifatkan itu merupakan satu penghormatan kepada beliau dan Negara khususnya.
 
“Alhamdulillah tak sangka pula tiba-tiba dicalonkan dan sudah pasti saya gembira dengan undian tersebut. Ia bukan satu tekanan (undian tertinggi) sebaliknya satu isyarat kepada saya untuk berusaha lebih gigih lagi,” katanya.

No comments:

Post a Comment