Sunday, January 8, 2012

JANJI PIYA LEDAK GOL

Detik manis Mohd Badhri ketika menjaringkan gol kemenangan Kelantan ke atas Negeri Sembilan dalam perlawanan akhir Piala Malaysia dua tahun lalu. Beliau bersedia mengulanginya dengan menjaringkan gol malam esok.
 
KOTA BHARU – Pertemuan menentang Negeri Sembilan dalam perlawanan Sumbangsih bagi merebut Piala Sultan Ahmad Shah di Stadium Nasional Bukit Jalil Kuala Lumpur malam esok pasti mengimbau kembali memori indah bagi Ketua Pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi.
 
Pada pentas perlawanan akhir Piala Malaysia dua tahun lalu, Mohd Badhri muncul selaku pemusnah apabila ledakannya pada m-65 perlawanan memastikan kemenangan pasukan Kelantan mengatasi Negeri Sembilan 2-1 dalam perlawanan tersebut.
 
Takdir sudah tertulis, apabila kedua-dua pasukan ini sekali lagi bertemu di gelanggang yang sama dan bagi kapten yang bakal mencecah usia 30 tahun itu, ada misi yang tersendiri yang mahu dilakarkan seandainya diberi peluang turun beraksi malam esok.
 
“Saya masih ingat gol tersebut berjaya membantu Kelantan muncul juara buat pertama kali Piala Malaysia. Dan dalam perlawanan bagi perebutan Piala Sultan Ahmad Shah tahun lalu juga saya berjaya menjaringkan gol kedua ketika mengalahkan Selangor 2-0 di Shah Alam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
 
“Insya ALLAH sekiranya berada dalam kesebelasan pasukan pasukan saya berjanji akan bermain sebaik mungkin untuk membantu pasukan kita mempertahankan kejuaraan. Lebih manis, sekiranya saya dapat mengulangi perkara (menjaringkan gol) yang sama ke atas Negeri Sembilan dalam perlawanan malam esok,” katanya.
 
Mengakui kemenangan pada malam esok mampu melonjakkan motivasi bagi menghadapi perlawanan pertama Liga Malaysia pada 10 Januari ini, Mohd Badhri atau dikenali Piya turun mengingatkan rakan sepasukan lain berwaspada dengan pasukan bergelar skuad Jang itu.
 
“Meskipun tanpa beberapa tonggak utama yang berhijrah ke pasukan lain, namun saya menganggap mereka masih sebuah pasukan yang kuat. Jurulatih mereka (Mohd Azraai Khor Abdullah) sememangnya terkenal dengan percaturan taktikal yang berkesan.
 
“Kita tidak pernah ambil mudah setiap perlawanan lebih-lebih lagi perlawanan penting seperti ini. Namun saya percaya dengan persiapan yang kita lakukan sejak dua bulan lalu, kita mampu mempertahankan sekali lagi kejuaraan pada malam esok,” katanya.
 
The Red Warriors membuka tirai saingan Liga Malaysia musim ini dengan misi mempertahankan kejuaraan tersebut setelah kali pertama berjaya melakukannya pada tahun lalu apabila mengecewakan Selangor 2-0 di Stadium Shah Alam.
 
Sementara itu, bagi Negeri Sembilan ini merupakan percubaan kali ketiga pasukan mereka setelah percubaan pertama pada tahun 2004 dan 2010 berakhir dengan kekalahan.
 
KASPYEN GAMBAR : Penyerang Kelantan Norshahrul Idlan Talaha (kiri) diasak keras oleh pemain pertahaan Selangor, Mohd Asrarudin Putra Omar dalam perlawanan Sumbangsih di Stadium Shah Alam pada 28 Januari tahun lalu. Dalam perlawanan itu Kelantan muncul juara setelah mengatasi Selangor 2-0.

No comments:

Post a Comment