Monday, January 16, 2012

SATU MATA SUNTIK MOTIVASI - ABDUL RAHMAN

KOTA BHARU – Kejayaan mengikat keputusan seri 1-1 ke atas Kelantan nyata menggembirakan pengendali pasukan PKNS FC, Abdul Rahman Ibrahim sesudah mengutip mata pertama mereka dalam saingan Liga Super musim ini.
 
Apa tidaknya, meskipun tanpa kelibat pemain import namun pasukan berstatus kelab itu dilihat masih mampu memberikan saingan dan bersedia menjadi pencabar utama dalam saingan liga pada musim ini.
 
Bekas pengendali skuad kebangsaan itu berkata, kejayaan mencuri satu mata di Kota Bharu ternyata menyuntik semangat pemainnya bagi menghadapi Kedah di tempat sendiri pada Selasa ini.
 
“Sebenarnya perlawanan menentang Kelantan ini merupakan pertemuan yang sukar bagi kita. Setelah tewas dalam perlawanan pertama (1-2 kepada Johor FC) tempohari, saya melihat pemain kita sebenarnya terlalu menghormati pasukan lawan.
 
“Kita belajar daripada pengalaman lalu saya akui bertemu Kelantan yang merupakan gergasi baru bola sepak tempatan memberikan peluang kepada para pemain untuk mempelajari sesuatu daripada mereka.
 
“Ternyata mereka sebuah pasukan yang lebih baik daripada kita. Alhamdulillah, percaturan taktikal kita begitu menjadi sehingga berjaya mengikat keputusan seri tanpa jaringan pada babak pertama,” katanya.
 
Menurut Abdul Rahman, meskipun Kelantan menampilkan kebangkitan dengan memasukkan pemain penyerang pada babak kedua, namun anak buahnya dilihat masih mampu mengimbangi corak persembahan pasukan tuan rumah.
 
“Jelas ketumpulan jentera serangan Kelantan begitu ketara pada babak kedua. Malah Kita menguasai perlawanana dalam tempoh 20 minit terakhir dan turut mempunyai dua peluang terbaik untuk menambahkan jaringan menerusi percubaan Helmi (Remeli) dan Rudie (Ramli),” katanya.

No comments:

Post a Comment