Monday, January 16, 2012

FAKTOR KELETIHAN RAGUT TIGA MATA

KOTA BHARU – Kegagalan meraih tiga mata penuh di hadapan penyokong sendiri ternyata memberikan tamparan hebat juara bertahan Liga Super, Kelantan apabila diikat keputusan seri 1-1 oleh pasukan berstatus kelab, PKNS FC dalam aksi kedua Liga Super malam semalam.
 
Di sebalik percaturan taktikal yang semakin bercelaru, Ketua Jurulatihnya, Peter Butler tetap mempertahankan persembahan anak buahnya sambil meletakkan faktor keletihan antara punca kegagalan pasukannya meraih tiga mata dalam perlawanan tersebut.
 
“Memang saya kecewa dengan keputusan seri ini. Pemain kita nampak keletihan setelah mengharungi penerbangan yang jauh pulang daripada Singapura selain beraksi di atas padang rumput tiruan menentang pasukan Lions XII sebelum ini.
 
“Saya tidak ada alasan di sebalik kegagalan ini. Benteng pertahanan kita masih mengulangi kesilapan yang sama. Sebagai pemain pengalaman, S Subramaniam sepatutnya tahu kesilapan yang dilakukan dan dia kena bertanggungjawab.
 
“Saya akan mengkaji segala kelemahan pasukan sebelum kita bertemu Johor FC pada perlawanan ketiga Selasa ini. Azizi (Matt Rose) sudah pasti kembali memperkuatkan benteng pertahanan kita,” katanya.
 
Dalam perlawanan tersebut, Kelantan terpaksa menunggu lebih sejam sebelum memperolehi gol pertama menerusi jaringan Ketua Pasukan, Mohd Badhri Radzi pada m-72 perlawanan. Namun pasukan PKNS FC berjaya menyamakan kedudukan lapan minit kemudian menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Mohd Fauzan Dzulkifli.
 
Mengulas mengenai prestasi buruk pemain import, Denny Antwi dalam perlawanan tersebut, Butler sekali lagi tetap mempertahankan persembahan pemain berusia 19 tahun itu meskipun di kritik hebat oleh sebilangan besar penyokong The Red Warriors.
 
“Dia (Antwi) pemain yang masih muda dan kita kena bagi masa kepadanya untuk buktikan. Saya tidak kisah di kritik kalau dia beraksi dengan baik tetapi malangnya dalam perlawanan ini dia masih gagal memberikan sesuatu kepada kita.
 
Prestasi buruk The Red Warriors dalam perlawanan tersebut nyata menarik perhatian Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa sendiri yang memberi kata dua kepada pemain dan pegawai pasukan untuk segera bangkit mempamerkan aksi cemerlang atau berdepan dengan surat tunjuk sebab dalam masa terdekat.

No comments:

Post a Comment