Monday, January 16, 2012

APEK TEROKAI DUNIA PERNIAGAAN

KOTA BHARU – Penjaga gol terbaik Asia, Khairul Fahmi Che Mat membuka satu lagi dimensi baru dalam kehidupannya apabila menerokai bidang perniagaan dengan tertubuhnya Khairul Fahmi Resources (M) Sdn Bhd atau lebih dikenali KFR yang baru dilancarkan semalam.

Mengakui tidak selamanya bergantung punca rezeki dalam bidang bola sepak, Khairul Fahmi atau dikenali Apex berkata, idea untuk menubuhkan KFR dicetuskan oleh beliau sendiri sebagai perancangan masa depan sebelum bersara dalam lapangan bola sepak.

“Paling lama pun saya akan bermain bola sepak sehingga umur 35 tahun. Setidak-tidaknya selepas bersara, saya masih mempunyai sumber pendapatan lain dengan menceburi bidang perniagaan.

“Penubuhan syarikat ini tidak akan menjejaskan karier saya selaku pemain bola sepak. Ini kerana KFR ini akan diuruskan oleh seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) selain beberapa kakitangan sokongan yang dilantik.

“Sebagai permulaan, KFR akan memberi tumpuan kepada perniagaan berasaskan produk pelancongan. Jadi kita telah memilih untuk menjalinkan kerjasama dengan Rakyat Travel Sdn Bhd memandangkan mereka mempunyai pengalaman luas dalam bidang tersebut.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis pelancaran KFR tersebut di salah sebuah hotel di Kota Bharu, semalam. Hadir sama ialah Pengurus Besar Rakyat Travel, Mohd Badri Osman dan CEO KFR, Mohd Fauzi Abduri.

Serentak dengan itu juga, Apex yang merupakan Pengarah Urusan KFR turut melancarkan secara rasmi Kelab Peminat Khairul Fahmi (KFFC) yang ditubuhkan bertujuan untuk merapatkan hubungan beliau dengan peminatnya di seluruh Negara.

“KFFC menawarkan pakej keahlian yang menarik antara RM10 sehingga RM250 bergantung kepada jenis-jenis pakej yang ditawarkan. Selain mendapat potongan harga istimewa, semua ahli juga berpeluang menyertai setiap program yang dianjurkan oleh kita.

Sementara itu, Mohd Badri berkata,  kerjasama yang tercetus itu hasil daripada pelawaan KFR sendiri yang melihat potensi besar Rakyat Travel mampu menguntungkan kedua-dua belah pihak.

“Kita sebenarnya sedang mencari rakan kongsi yang boleh mempromosikan jenama kita. Khairul Fahmi ada jenamanya sendiri dan begitu juga Rakyat Travel mempunyai kekuatan tersendiri dalam bidang ini.

“Jadi kami bergabung dan berkongsi kekuatan masing-masing dengan memperkenalkan produk pelancongan untuk orang ramai,” katanya.

No comments:

Post a Comment