Wednesday, January 18, 2012

RED WARRIORS TAMPIL BARISAN TERKUAT

 
 
KOTA BHARU – Gagal meraih mata penuh pada pertemuan menentang PKNS FC tempohari, The Red Warriors kini tidak mempunyai pilihan melainkan perlu menumbangkan pasukan berstatus kelab, Johor FC dalam aksi ketiga Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, malam ini.
 
Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim berkata, hanya kemenangan ke atas Johor FC dilihat mampu melonjakkan kembali maruah The Red Warriors bagi mendaki tangga teratas liga pada musim ini.
 
“Kita akan menampilkan barisan terkuat Kelantan pada pertemuan malam ini. Tidak ada strategi khusus bagi menghadapi Johor FC sebaliknya semua pemain turun menjalani latihan seperti biasa di bawah kendalian jurulatih, Peter Butler,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.  
 
“Kita tidak boleh tercicir mata lagi. Sesuatu yang cukup mengecewakan sekiranya kita beraksi di gelanggang sendiri dan di hadapan penyokong setia sendiri tetapi gagal masih mengutip mata penuh.
 
“Jadi saya ingatkan kepada semua pemain, kita bukan sahaja tidak boleh kalah tetapi juga tidak boleh berkongsi mata dengan Johor FC pada pertemuan malam ini. Kemenangan cukup penting bagi mengukuhkan kedudukan kita dalam carta liga,” katanya.
 
 Kelantan terlepas peluang mendapatkan khidmat Azizi (depan) setelah pemain tersebut belum cergas sebelumnya daripada kecederaan lutut baru-baru ini.
 
Sementara itu, Azman turut menjelaskan The Red Warriors kempunan untuk menggunakan khidmat bek kental, Azizi Matt Rose bagi memperkuatkan benteng pertahanan apabila pemain tersebut masih belum cergas sepenuhnya setelah pulih daripada kecederaan lutut baru-baru ini.
 
Mengulas mengenai lawan bakal dihadapi pada malam ini, Azman menegaskan beliau tetap menghormati keupayaan pasukan bimbingan jurulatih K Devan itu yang disifatkan mempunyai kekuatan yang tersendiri.
 
“Anda boleh lihat kekuatan mereka apabila menewaskan PKNS FC 2-1 pada perlawanan pertama tidak lama dulu. Memang mereka tewas 0-2 kepada Negeri Sembilan dalam perlawanan kedua, namun mereka dilihat lebih menguasai perlawanan ketika bertemu skuad Jang itu. Cuma nasib sahaja tidak menyebelahi mereka.
 
“Malah meskipun tanpa pemain import namun kekuatan pasukan mereka masih seimbang. Kita harus berwaspada dengan beberapa pemain mereka seperti Azi Shahril (Azmi), Mohd Khairulnissam Sahabudin (Hussain), Shafizan (Hashim) selain Eddy Helmi (Abdul Manan) yang sudah pasti boleh memberi masalah kepada  kita,” katanya.
 
Begitu pun, rekod pertemuan musim lalu bagi kedua-dua pasukan nyata memihak kepada The Red Warriors yang berjaya menewaskan pasukan dari selatan tanah air itu 4-1 di Kota Bharu.

No comments:

Post a Comment