Monday, January 16, 2012

APEK TUNTUT RAKAN BANGKIT

KOTA BHARU – Kegagalan meraih tiga mata penuh ketika menentang PKNS FC tempohari wajar dilupakan dan pertemuan menentang sebuah lagi pasukan berstatus kelab, Johor FC malam esok perlu menjadi tilik tolak kebangkitan pasukan The Red Warriors.

Justeru, penjaga gol utama Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat menuntut rakan sepasukannya bangkit mempamerkan aksi terbilang dan memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dengan mengutip tiga mata penuh.

“Memang sedikit terkilan apabila kita gagal mengutip mata penuh dalam pertemuan dengan PKNS FC tempohari. Selasa ini (malam esok) kita akan bertemu Johor FC dan kita perlu menang bagi memulihkan keyakinan penyokong kita sendiri.

“Meskipun ini baru permulaan saingan liga, setiap pasukan tidak boleh tercicir mata. Awal saingan liga seperti inilah kita perlu mengutip mata sebanyak mungkin kerana kita tidak mahu berdepan kesukaran mengejar mata di penghujung liga nanti,” katanya.

Mengakui moral rakan sepasukannya sedikit menurun selepas mencatatkan keputusan seri dengan PKNS FC tempohari, penjaga gol kebangsaan berusia 23 tahun itu menjelaskan hanya kemenangan ke atas Johor FC dilihat mampu menyuntik kembali semangat pemain The Red Warriors bagi mengharungi perlawanan berikutnya selepas ini.

“Saya berharap rakan sepasukan yang lain dapat melupakan episod buruk itu. Sebaliknya kita fokus pada pertemuan dengan Johor FC nanti. Memang diakui Johor FC merupakan pasukan yang kuat tetapi saya percaya kita mampu mengalahkan mereka nanti.

“Saya berharap para peminat kembali memenuhi stadium keramat kita bagi memberikan sokongan padu kepada barisan pemain The Red Warriors ketika bertemu Johor FC nanti.

Sementara itu, Khairul Fahmi yang masih belum pulih daripada kecederaan ketika beraksi dalam perlawanan pertama menentang Lions XII di Singapura minggu lalu berharap dapat diturunkan dalam pertemuan menentang Johor FC malam esok.

“Kesakitan masih lagi terasa tetapi saya sudah pun turun menjalani latihan hari ini. Semuanya bergantung pada jurulatih, tetapi saya tetap bersedia diturunkan bagi membantu Kelantan mengutip tiga mata dalam perlawanan tersebut,” katanya.

Kelantan memulakan tirai aksi saingan Liga Super musim ini dengan rentak cemerlang apabila mengalahkan pasukan Lions XII 2-1 di Singapura namun gagal mengulangipencapaian tersebut dalam perlawanan kedua setelah diikat seri 1-1 dengan PKNS FC di Kota Bharu, Jumaat lalu.

No comments:

Post a Comment