Wednesday, January 18, 2012

MAT YO TEKAD ROBEK GAWANG

 
KOTA BHARU – Pertemuan menentang Johor FC malam ini bakal menjadi landasan terbaik bagi penyerang sensasi Kelantan, Norshahrul Idlan Talaha untuk membuktikan sentuhan beliau masih lagi berbisa meskipun dibayangi kehebatan pemain import, Mohammed Ghaddar.
 
Gagal meledakkan jaringan ketika pertemuan menentang PKNS FC tempohari, Norshahrul Idlan atau dikenali Mat Yo berkata, beliau bertekad untuk menjaringkan gol bagi pasukan Kelantan pada perlawanan malam ini.
 
“Meskipun belum mencapai tahap kemampuan sebenar namun saya akan berusaha untuk mempertingkatkan prestasi semasa seterusnya merobek pintu gol Johor FC pada malam ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
 
“Tugas sebagai seorang penyerang ialah menjaringkan gol. Kalau boleh saya mahu menjaringkan gol bagi membantu Kelantan mengutip tiga mata. Namun semua itu tidak akan berhasil tanpa sokongan daripada rakan sepasukan.
 
“Saya berharap perlawanan malam ini menjadi titik tolak kepada saya setelah gagal menjaringkan gol ketika bertemu PKNS FC tempohari. Kemenangan malam ini cukup penting bagi kita untuk mengukuhkan kedudukan dalam saingan liga,” katanya.
 
Mengakui sedikit tertekan rentetan kegagalan The Red Warriors meraih tiga mata pada perlawanan lalu, Norshahrul Idlan tetap percaya pasukannya akan bangkit untuk mencipta kemenangan ke atas Johor FC pada malam ini.
 
“Kita ambil kegagalan meraih tiga mata ketika bertemu PKNS FC itu sebagai satu pengajaran berguna kepada pasukan kita. Malah ia menjadi pembakar semangat untuk kita mencatatkan kemenangan seterusnya dan mengembalikan semula keyakinan penyokong terhadap The Red Warriors.
 
“Saya berharap rakan sepasukan dapat berikan yang terbaik ketika menentang Johor FC malam ini. Malah kelebihan beraksi di tempat sendiri perlu dimanfaatkan sebaiknya bagi mengembalikan semula sokongan peminat,” katanya.
 
Setakat ini, Norshahrul Idlan, pemain yang dinobatkan selaku pemenang Anugerah Pemain Paling Bernilai Supermokh pada musim lalu hanya menjaringkan satu gol dalam perlawanan pertama Liga Super menentang pasukan Lions XII di Singapura pada 10 Januari lalu.

No comments:

Post a Comment