Saturday, January 21, 2012

RED WARRIORS BAWA PULANG TIGA MATA

KEDAH 0

KELANTAN 3
Mohammed Ghaddar (pen m-34)
Norshahrul Idlan Talaha (m-79)
Denny Antwi (m-90+3)

ALOR SETAR – Rekod kebal Sang Kenari di gelanggang sendiri sejak dua musim lalu akhirnya lebur setelah tewas 0-3 kepada Kelantan dalam aksi perlawanan tunggal Liga Super yang berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi.

Kejayaan menewaskan Kedah membolehkan The Red Warriors memimpin tangga teratas liga buat pertama kali pada musim ini. Sementara itu, Kedah bukan sahaja gagal meraih kemenangan pertama mereka malah terus kempunan untuk menjaringkan gol sehingga 360 minit perlawanan berlangsung setakat ini.

Pasukan tuan rumah yang turun dengan misi memburu kemenangan pertama mereka pada musim ini mempunyai peluang terbaik seawal minit kelima perlawanan menerusi sepakan percuma Kaptennya, Baddrol Bakhtiar namun tersasar di sebelah kiri pintu gol Kelantan.

Namun Kelantan yang mengekalkan kesebelasan pemain yang sama ketika menewaskan Johor FC tempohari kembali membalas serangan menerusi percubaan penyerang importnya, Mohammed Ghaddar pada m-13 perlawanan.

Berpunca hantaran jauh rakan sepasukan, Ghaddar mudah melepasi kekangan dua pemain pertahanan Kedah, V Thirumurugan dan Khairul Helmi Johari namun rembatannya tinggi melepasi gawang gol Kedah.

Mohammed Ghaddar sekali lagi terlepas peluang untuk memastikan Kelantan berada di depan apabila mensia-siakan peluang terbaik yang dimilikinya pada m-26 perlawanan. Sepakan percuma Kapten, Mohd Badhri Radzi berjaya melepasi benteng pemain Kedah namun tampanan kurang kemas Ghaddar pula menyaksikan bola tersasar daripada pintu gol pasukan tuan rumah.

Tindakan pemain pertahanan Kedah, Mohd Fauzie Nan mengasari Norshahru Idlan Talaha di dalam kotak penalti mengundang padah apabila pengadil perlawanan tidak teragak-agak memberikan sepakan penalti kepada Kelantan pada m-34 perlawanan.

Mohammed Ghaddar yang diberi tanggungjawab mengambil sepakan tersebut mudah menyepak masuk ke penjuru sebelah kiri menewaskan Mohd Helmi Eliza Elias untuk gol pertama Kelantan dalam perlawanan tadi.

Satu-satunya peluang terbaik Kedah hadir tiga minit sebelum babak pertama berakhir. Berpunca lambungan jauh rakan sepasukan, Mohd Khyrill Muhymeen bijak memperdayakan Khairul Fahmi Che Mat namun rembatannya sempat ditepis keluar penjaga gol kebangsaan itu.

Lapan minit babak kedua bersambung, Kelantan terus memburu jaringan keduanya namun Norshahrul Idlan tampak tidak bersedia untuk menyambut tandukan ke belakang Mohammed Ghaddar meskipun berada dalam kedudukan terbaik untuk menyempurnakan peluang tersebut di depan gawang pasukan tuan rumah.

Empat minit kemudian, Sang Kenari terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan apabila tandukan cantik Mohd Khyrill berpunca hantaran lintang Amar Rohidan berjaya diselamatkan Khairul Fahmi di atas garisan pintu gol Kelantan.

Kemasukan pemain importnya, Daniel Soares Neves pada m-68 perlawanan ternyata menghidupkan kembali jentera tengah Kedah tatkala barisan pemain Peter Butler di lihat mula mengendurkan rentak permainan mereka pada ketika itu.

Hasilnya dua minit kemudian, Sang Kenari nyaris menjaringkan gol penyamaan menerusi rembatan kencang Mohamad Faizal Abu Bakar di dalam kotak penalti namun terkena palang gol sementara sepakan percuma Mohd Sabre Md Abu pada m-75 pula terus ke dakapan Khairul Fahmi.

Norshahrul Idlan Talaha terus mengukuhkan kedudukan apabila menjaringkan gol kedua Kelantan pada m-79 perlawanan. Kelekaan barisan pertahanan tuan rumah yang gagal menutup ruang dihukum oleh Norshahrul Idlan dengan memanfaatkan hantaran pendek Denny Antwi menerusi rembatan rendah yang terkena tiang sebelah kanan dan menerjah jaring untuk gol kedua Kelantan.

Kesilapan penjaga gol Kedah, Mohd Helmi Eliza yang lambat mengeluarkan bola di depan pintu golnya dihukum oleh Antwi apabila berjaya merebut bola di kakinya sebelum merembat masuk tatkala pintu gol sudah pun ternganga pada minit akhir perlawanan.

Kesebelasan utama pemain :

KEDAH : Mohd Helmi Eliza Elias, V Thirumurugan, Mohd Fauzie Nan, Azmizi Azmi, Mohd Sabre Md Abu, Amar Rohidan (Daniel Soares Neves), Mohd Syamim Alif (Mohd Kamal Azira Abd Manah), Mohamad Faizal Abu Bakar (Abdul Latiff Suhaimi), Khairul Helmi Johari, Baddrol Bakhtiar (KP) dan Mohd Khyrill Muhymeen Zamri.

FORMASI : 4-4-2

KELANTAN : Khairul Fahmi Che Mat, Mohd Daudsu Jamaluddin (Mohamad Zamri Ramli), Mohd Farisham Ismail, S Subramaniam (Mohd Rizal Fahmi Ab Rosid), Mohamad Ab Aziz Ismail, Mohd Shakir Shaari, Mohd Badhri Radzi (KP), Mohd Norfarhan Muhammad, Indra Putra Mahayuddin, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohammed Ghaddar (Denny Antwi).

FORMASI : 4-4-2

STATISTIK PERLAWANAN

Percubaan tepat : Kedah (4) Kelantan (2)
Percubaan tersasar : Kedah (3) Kelantan (2)
Sepakan penjuru : Kedah (5) Kelantan (2)
Sepakan percuma : Kedah (19) Kelantan (14)
Ofsaid : Kedah (0) Kelantan (1)
Kekasaran : Kedah (13) Kelantan (13)
Kad kuning : Kedah  (Mohd Fauzie Nan dan Mohd Sabre Md Abu)
Kad merah : Tiada bagi kedua-dua pasukan
Masa tambahan : Lima minit
Penguasaan bola : Kedah (48%) Kelantan (52%)

PEGAWAI PERLAWANAN

Pengadil : Samsudin Ibrahim
Penolong Pengadil 1: M Sivanesan
Penolong Pengadil 2: Mohd Juhairi Idris
Pegawai Keempat : T Muniswaran
Kommissioner Perlawanan : Hakimi Mohamad
Penilai Pengadil : Mohd Rossli Ibrahim
General Koordinator : Mohd Rosli Abdul Halim

1 comment:

  1. hok penting meney.... tapi perlu ada peningkatan lagi tuh puok kito. semoga TRW terus maju jaya

    ReplyDelete