Sunday, January 22, 2012

TRW BELUM CAPAI TAHAP SEBENAR

 Antwi (kiri) baru menunjukkan kehebatannya setelah tenggelam dalam tiga perlawanan yang lalu.
 
KOTA BHARU – Kejayaan Kelantan mengalahkan Kedah 3-0 seterusnya melonjakkan ke persada liga tidak boleh dijadikan ukuran The Red Warriors sudah mencapai tahap permainan yang sebenarnya.
 
Malah bagi Pengurus Pasukan, Azman Ibrahim sendiri menyifatkan kemenangan tersebut tidak mencerminkan kekuatan sebenar Kelantan dan menganggap kelemahan benteng pertahanan Kedah memberi ruang kepada pasukannya menjaringkan tiga gol dalam perlawanan tersebut.
 
“Apa yang boleh saya katakan kita bernasib baik memenangi perlawanan ini. Kalau rembatan Mohamad Faizal (Abu Bakar) pada m-70 menerjah jaring pasti keputusan perlawanan ini berubah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian semalam.
 
“Memang kita dapat menjaringkan tiga gol dan perolehi tiga mata tetapi prestasi pasukan nyata tidak memuaskan hati saya. Saya lihat kedua-dua pasukan mempamerkan aksi tidak bermaya dan kita perlu mengkaji secara menyeluruh masalah ini.
 
“Yang pasti ini bukan tahap permainan kita yang sebenar dan kemenangan ini tidak boleh dimegah-megahkan. Kita belum bertemu lagi dengan pasukan yang kuat seperti Selangor, Terengganu dan Negeri Sembilan pada perlawanan akan datang,” katanya.
 
Mengenai prestasi dua pemain import Kelantan, Azman yang tanpa berselindung ternyata berang dengan prestasi Mohammed Ghaddar yang masih terkial-kial untuk mencari ‘sentuhan pembunuh’ di depan pintu gol pasukan lawan.
 
“Dia bermain terlalu ‘fancy’, sering menonjolkan kemahiran individu dan sentiasa hilang bola. Sikap seperti ini tidak harus ada pada diri dia kerana kita mengamalkan semangat berpasukan. Malah kita sudah bagi peringatan kepada dia berkali-kali tetapi ia masih berlaku dan saya kecewa dengan situasi ini.
 
“Kemasukan Denny Antwi terbukti mampu mengubah corak permainan kita dengan larian pantasnya. Tetapi sebagai pemain import, takkanlah baru dia hendak buktikan keupayaannya sesudah berada dalam zon penyingkiran. Dia sepatutnya lebih hebat daripada pemain tempatan.
 
Mengulas mengenai percaturan jurulatih, Peter Butler yang mengeluarkan dua pemain pertahanan, Mohd Daudsu Jamaluddin dan S Subramaniam dalam pertemuan tersebut, Azman menjelaskan kedua-dua pemain tersebut terpaksa dikeluarkan setelah mengalami keletihan dan kecederaan.
 
Pemain The Red Warriors diberi cuti rehat selama dua hari dan bakal menyambung kembali latihan esok sebagai persediaan menghadapi pasukan Kuala Lumpur dalam aksi kelima Liga Super di Kota Bharu pada Sabtu ini.

No comments:

Post a Comment