Saturday, January 21, 2012

HAPUS BADI SUAKR MENANG - PIYA


KOTA BHARU – Ada satu pesanan ringkas disuarakan oleh Ketua Pasukan Kelantan, Mohd Badhri Radzi menjelang pertemuan dengan Kedah dalam aksi perlawanan tunggal Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini.

“Bukan setakat meraih tiga mata, tetapi Kelantan perlu hapuskan badi kegagalan untuk mencipta kemenangan di stadium tersebut’ begitulah pesanan Mohd Badhri atau dikenali Piya kepada rakan sepasukannya yang lain.

“Rekod pertemuan kita dengan Kedah di Stadium Darul Aman sejak dua musim lalu sentiasa memihak kepada mereka. Jadi saya fikir pertemuan ini merupakan kesempatan terbaik bagi kita untuk menamatkan badi kesukaran mencipta kemenangan di sana,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian sebelum berlepas ke Alor Setar, pagi semalam.

“Kita bertandang ke sana dengan misi yang cukup jelas. Bukan keputusan seri atau kalah tetapi kemenangan yang kita mahukan. Tidak kira siapa yang diturunkan oleh jurulatih, semua pemain perlu bermain mati-matian bagi memburu tiga mata penuh.

“Saya percaya semua pemain kita berada dalam ‘mood’ yang cukup baik ketika ini selepas menewaskan Johor FC 2-1 tempohari. Malah gandingan mantap Norshahrul Idlan (Talaha) Mohammed Ghaddar dan Indra Putra (Mahayuddin) tampak semakin berbisa merobek pintu gol lawan,” katanya.

Menurut Mohd Badhri, selaku juara musim lalu, The Red Warriors tidak boleh tercicir mata dan perlu mengekalkan momentum cemerlang meraih tiga mata bagi mengukuhkan kedudukan di persada liga.

Walaubagaimanapun jeneral padang berusia 30 tahun itu tetap memberi peringatan kepada rakannya supaya tidak memandang mudah pertemuan ini meskipun pasukan Sang Kenari yang dibimbing oleh Mohd Nidzam Adzha Yusoff dilihat mempamerkan aksi tidak konsisten dalam tiga perlawanan setakat ini.

“Kita tahu semangat pemain mereka sedikit terjejas setelah gagal mencipta kemenangan dan menjaringkan gol dalam tiga perlawanan lalu. Tapi itu masalah mereka dan saya percaya kita harus lebih waspada dengan kebangkitan pemain Kedah pada malam ini.

“Mereka masih ada Baddrol (Bakhtiar), Mohd Khyril (Muhymeen) dan Amar (Rohidan) yang masih boleh mengimbangi kekuatan pasukannya meskipun aksi dua pemain import Brazil, Danilo Rafael Dos Santos dan Daniel Soares Neves nyata kurang menjadi setakat ini.

“Malah bertemu dengan pasukan yang kuat seperti kita pasti menjadi motivasi bagi Kedah untuk mencatatkan kemenangan pertama di hadapan penyokong mereka sendiri,” katanya.

Rekod pertemuan Kelantan di Stadium Darul Aman, Alor Setar sejak dua musim lalu nyata kurang memberangsangkan apabila sekadar terikat seri tanpa jaringan pada tahun 2010 dan seri 1-1 pada tahun lalu.

No comments:

Post a Comment