Monday, January 16, 2012

KFFC RAPATKAN HUBUNGAN APEK DENGAN PEMINAT

KOTA BHARU – Penubuhan secara rasmi Kelab Peminat Khairul Fahmi (KFFC) dilihat bukan sahaja dapat meraih sokongan padu malah merapatkan hubungan penjaga gol utama skuad kebangsaan itu dengan peminatnya di seluruh Negara.

Pengerusinya, Mohd Fauzi Abduri berkata, kelab peminat itu diwujudkan memandangkan Khairul Fahmi atau dikenali Apex itu bukan sahaja mempunyai peminat tersendiri di Negara ini tetapi juga merangkumi negara Asean termasuk Indonesia, Singapura, Thailand dan Brunei Darussalam. 

“KFFC akan berperanan untuk menjawab segala tohmahan-tohmahan negatif yang dilemparkan ke atas Khairul Fahmi (Che Mat). Kita akan jawab satu persatu secara baik dan dalam erti kata lain kita menjadi jurucakap bagi pihak beliau.

“Kita mesti ingat dia merupakan ‘public figure’ dan segala tindak-tanduknya menjadi perhatian ramai. Adalah menjadi tanggungjawab pihak kami untuk memastikan kehidupan beliau tidak dilingkari dengan pelbagai kontroversi lagi selepas ini,” katanya.

Mohd Fauzi yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Khairul Fahmi Resources (M) Sdn Bhd, sebuah syarikat yang baru ditubuhkan menjelaskan pihaknya meletakkan sasaran sebanyak 50,000 ahli dijangka menyertai kelab tersebut.

“Kita juga bercadang untuk mengeluarkan merchandise sendiri berupa baju t, topi selain kasut dengan menggunakan jenama Khairul Fahmi pada masa akan datang.

Sementara itu Khairul Fahmi ketika mengulas mengenai penubuhan KFFC berkata, beliau tidak menganggap penubuhan kelab peminatnya mengganggu komitmennya sepanjang mempunyai tugasan bersama pasukan negeri mahupun kebangsaan.

“Kewujudan kelab peminat ini tidak menjejaskan sebaliknya saya tetap fokus kepada bola sepak. Paling penting, saya dilahirkan di dalam dunia bola sepak dan ia tetap menjadi keutamaan bagi kehidupan saya.

“Insya ALLAH dengan kewujudan kelab peminat ini, hubungan saya dengan semua peminat dapat dipertingkatkan. Malah mereka berpeluang mengikuti perkembangan semasa saya menerusi laman sesawang rasmi yang sudah pun beroperasi,” katanya.

Bagi peminat setia penjaga gol kebangsaan ini, boleh melayari laman sesawang Khairul Fahmi di alamat www.mykhairulfahmi.com untuk mengikuti perkembangan terkini pemain tersebut.

No comments:

Post a Comment