Saturday, January 28, 2012

GHADDAR BURU GOL PADANG

 Ghaddar (kiri) janji ledak menerusi gol padang pada pertemuan menentang Kuala Lumpur di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam esok.

KOTA BHARU – Enggan dilabelkan selaku penjaring gol hanya menerusi sepakan penalti, penyerang import Kelantan, Mohammed Ghaddar mahu memastikan ‘badi’ tersebut berakhir pada perlawanan kelima Liga Super menentang Kuala Lumpur di Stadium Sultan Muhammad IV malam esok.

Ghaddar, 28, pemain yang gembar-gemburkan mempunyai pakej yang serba lengkap selaku senjata pembunuh The Red Warriors pada musim ini berjanji mahu menjadikan pertemuan menentang Kuala Lumpur malam esok sebagai medan kebangkitan untuk beliau menamatkan gelaran tersebut.

“Selepas mengharungi empat perlawanan dan menjaringkan dua gol menerusi sepakan penalti, saya meletakkan sasaran mahu menyumbangkan jaringan untuk Kelantan menerusi gol padang pada pertemuan menentang Kuala Lumpur malam esok,” katanya ketika ditemui Sinar Harian semalam.

“Itu janji saya kepada penyokong setia Kelantan dan saya mempunyai keyakinan yang tinggi dapat mencapai sasaran tersebut meskipun berdepan dengan pelbagai kritikan ekoran hanya mampu menyumbangkan gol menerusi sepakan penalti sebelum ini.

“Saya datang ke sini (Kelantan) untuk menjaringkan gol dan ia menjadi tugas saya selaku seorang penyerang. Saya mengambil kira setiap kritikan daripada sudut positif dan saya fikir kita mampu mengalahkan Kuala Lumpur malam esok,” katanya.

Mengulas mengenai keserasiannya bersama penyerang tempatan, Norshahrul Idlan Talaha, pemain yang pernah beraksi dengan kelab Al-Ahly dalam Liga Mesir itu tidak menafikan masalah komunikasi masih lagi menjadi penghalang kepada beliau untuk berinteraksi dengan pemain tempatan yang lain ketika beraksi di padang.

“Saya tahu sukar bagi saya berkomunikasi di dalam bahasa Inggeris tetapi saya mempunyai Matyo (Norshahrul Idlan) yang merupakan penyerang terbaik kebangsaan dan secocok berpasangan dengan saya di jentera serangan.

“Saya percaya dalam beberapa perlawanan lagi pada masa akan datang, saya akan menemui keserasian yang lebih baik dengan beliau seterusnya menjaringkan seberapa gol untuk pasukan Kelantan,” katanya.

Untuk rekod, Ghaddar setakat ini hanya mampu meledakkan dua gol, kedua-duanya  menerusi sepakan penalti ketika aksi pertemuan menentang pasukan Lions XII, pada 10 Januari lalu dan terakhir ketika Kelantan mengalahkan Kedah 3-0 di Alor Setar pada minggu lalu. 

No comments:

Post a Comment