Tuesday, January 10, 2012

KELANTAN BERDEPAN SORAKAN KALLANG MALAM INI

 SUNDRAMOORTHY

KOTA BHARU – Awas The Red Warriors!! Bukan mudah menjinakkan pasukan Lions XII lebih-lebih lagi apabila terpaksa beraksi di atas padang rumput tiruan dalam perlawanan pembukaan Liga Malaysia (Liga-M) 2012 di Stadium Jalan Besar, Singapura 2012 malam ini.

Buat pertama kalinya Lions XII yang juga dikenali sebagai pasukan Bawah 23 Tahun Singapura diberi penghormatan menyertai Liga-M musim ini sebagai ‘pasukan jemputan’ dan Kelantan, selaku juara Liga Super musim lalu menjadi pasukan pertama diundi bertemu pasukan tersebut.

Stadium yang berkapasiti 6,000 tempat duduk itu sudah pasti bergema dengan sorakan ‘Kallang’, satu sorakan yang sudah lama tidak kedengaran sejak pasukan Singapura itu meninggalkan saingan liga domestik Negara 18 tahun lalu.

Malah tiket perlawanan bagi menyaksikan pertemuan menarik kedua-dua pasukan ini sudah habis dijual sejak semalam lagi. Difahamkan, inilah pertama kali dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, tiket perlawanan habis dijual dalam masa yang singkat.

Bagi skuad bimbingan Peter Butler, mereka bukan sahaja perlu menyesuaikan diri beraksi di atas padang rumput tiruan di stadium tersebut malah perlu berhadapan dengan sorakan Kallang oleh peminat setia bola sepak di Singapura.

Kali terakhir mencatatkan keputusan seri 3-3 dengan ATM dalam aksi perlawanan persahabatan terakhir pra musim baru-baru ini, Sundramoorthy yang pernah beraksi selaku pemain import dengan pasukan Kedah dan Kelantan suatu ketika dahulu pasti merencanakan strategi tersendiri bagi menyaingi percaturan taktikal oleh Butler.

Sundramoorthy sudah pasti mempertaruhkan kelibat beberapa pemain kebangsaan diterajui Ketua Pasukannya, Mohammad Shahril Ishak, Mohamad Izwan Mahbud (penjaga gol), Baihakki Khaizan (pertahanan), Hariss Harun (tengah) selain gandingan penyerang Muhammad Khairul Nizam Mohamad dan Agu Casmir.

 Kapten Lions XII, Mohammad Shahril bakal mengemudi jentera tengah pasukannya bertemu Kelantan dalam perlawanan aksi pertama Liga Malaysia 2012, malam ini.

Malah Casmir, pemain naturalisasi yang berasal dari Nigeria sudah pasti menjadi sandaran utama Sundramoorthy bagi merobek pintu gol Kelantan yang dikawal oleh Khairul Fahmi Che Mat.

Selain Casmir, jurulatih berusia 46 tahun itu juga turut mempertaruhkan Baihakki, bekas pemain Medan Chiefs yang beraksi di Liga Premier Indonesia (IPL) untuk memperkuatkan benteng pertahanan mereka. 

Sementara itu, Kapten mereka, Mohammad Shahril yang menjadi pencetus disebalik kejayaan pasukan Singapura menyingkirkan Malaysia dalam perlawanan pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia pada Julai tahun lalu pula bakal mengemudi jentera tengah pasukan Lions XII pada pertemuan malam ini.

1 comment:

  1. Hello just wanted to give you a quick heads up.
    The text in your post seem to be running off the
    screen in Safari. I'm not sure if this is a formatting issue or something to do with web browser compatibility but I figured I'd
    post to let you know. The design and style look
    great though! Hope you get the issue fixed soon. Cheers

    Visit my site home cellulite treatment

    ReplyDelete